Demo anti-DAP Ali Tinju ada unsur hasutan, jenayah - Polis


Polis akan menyiasat Ali Tinju dan Pertubuhan Pembela Nasib Melayu yang juga menamakan diri mereka sebagai Gerakan Merah berikutan bantahan di ibu pejabat DAP semalam semasa menyerahkan memorandum.

Ali Tinju, atau nama sebenarnya Mohd Ali Baharom, mengetuai rombongan kira-kira 30 orang untuk menyerahkan memorandum berhubung pembelian kontroversi banglo RM2.8 juta oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga adalah setiausaha agung DAP.

Dalam satu kenyataan hari ini, polis berkata terdapat tindakan atau perbuatan yang menyalahi undang-undang pada bantahan semalam itu.

"Semasa penyerahan (memorandum) tersebut, seorang peserta telah menyampaikan ucapan yang mengandungi unsur-unsur hasutan dan ancaman jenayah," kata kenyataan itu.

Tindakan tersebut dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan oleh itu pihak polis akan menyiasat perkara itu.

Antara yang hadir semalam, selain Ali Tinju, adalah ketua Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao dan Naib Presiden, Gerakan Merah, Mejar (B) Razali Zakaria.

Memorandum mengkritik DAP dan Lim itu disampaikan dengan penuh drama apabila mereka enggan menyerahkan dokumen itu kepada ahli jawatankuasa DAP Selangor Edry Faisal Eddy Yusof atas alan bahawa beliau adalah orang Melayu.

"Kami mahu orang Cina keluar terima memo. Kami tak nak orang Melayu (terima). Orang Melayu tak ada kaitan dengan ini.

"Maruah Melayu jangan digadaikan," kata Mohd Ali.

DAP sering digambarkan musuh politiknya sebagai parti Cina walaupun semakin ramai orang Melayu menyertainya akhir-akhir ini.

Susulan penolakan itu, DAP terpaksa menghantar Ketua Pentadbir Ibu Pejabat DAP Chu Yoon Ming sebagai wakil untuk menerima memorandum itu.

Setelah menerimanya, Chu memberi pula memorandum balas DAP kepada kumpulan itu.

Memorandum itu menyeru Gerakan Merah untuk bersama-sama dalam kempen "Selamatkan Malaysia" yang mendesak pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Namun, Ali Tinju enggan menerima memorandum daripada Chu dan bertindak drastik dengan mencampakannya ke lantai lalu memijak memorandum DAP itu.

Dengan marah beliau berkata: "Kami tak nak (memorandum DAP)".

Dalam memorandumnya, Gerakan Merah mahu Lim bercuti sementara ke atas isu pembelian banglonya bawah harga pasaran di Pulau Pinang berjalan.- Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget