KUCHING - Sikap PKR yang mengumumkan calon partinya secara bersendirian tanpa berunding dengan rakan parti kompenan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak telah dikecam oleh pimpinan Dayak DAP negeri.
Kecaman itu dibuat oleh Naib Pengerusi DAP Sarawak, Leon Jimat Donald, yang mengibaratkan ahli politik PKR sebagai ahli politik ‘sambilan’ telah merampas kerusi milik DAP.
Kerusi yang dimaksudkan itu adalah DUN Simanggang yang ditandingi oleh Leon Donald sendiri pada PRN 2011, namun beliau tewas kepada calon BN, Datuk Francis Harden ak Hollis (SUPP).
Pada Disember tahun lalu, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar mengumumkan DUN Simanggang bakal ditandingi calon PKR, Norina Umoi Utot.
Leon Donald, menyifatkan tindakan PKR merampas kawasan Dayak yang pernah ditandinginya sebagai ‘berniat jahat’.
Menurutnya, pergeseran di peringkat akar umbi di antara penyokong DAP dan PKR semakin panas menjelang PRN Sarawak April ini.
“Saya dapati usaha PKR melucukan dan tidak masuk akal kerana mereka hanya muncul semasa pilihan raya dan hilang serta-merta selepas pilihan raya selesai.
“Bagaimana kita boleh mengharapkan PKR untuk membantu rakyat di Sri Aman apabila mereka tidak boleh mengekalkan pejabat dan ahli-ahli mereka sendiri?
“PKR begitu tamak mahukan kerusi yang telah diservis dan dijaga oleh ahli-ahli DAP yang rajin.
“Sekarang, hampir semua kerusi Dayak luar bandar dituntut oleh PKR yang saya dapati ia tidak masuk akal dan tidak adil,”katanya.
Beliau turut memperlekehkan calon PKR, Norina Umoi Utot sebagai calon payung terjun PKR dan orang luar dari Betong yang tidak mengenali sesiapa di Simanggang.
“Orang luar dari Betong yang tidak kenal sesiapa, calon payung terjun PKR untuk mencabar kami di Simanggang,” katanya.
Betong, merupakan sebuah pekan kecil, kira-kira 76km atau satu jam perjalanan dari pusat bandar Sri Aman.
Calon PKR, Norina dilaporkan sampai sekarang masih bekerja dan telah pergi ke Timur Tengah
“Kita tidak boleh ada ahli politik sambilan yang muncul semasa malam sebelum pilihan raya, kemudian hilang selepas itu.
“Malangnya, ini adalah budaya PKR,” kata Timbalan Pengarah kempen Leon Donald, Jayes Agas.
Tambahnya, “Mereka hilang, hanya untuk muncul semula semasa pilihan raya tetapi mereka mengadu dan menuntut lebih banyak kerusi tetapi mereka tewas sekali lagi dan lagi,” katanya, sambil merujuk prestasi PKR dalam PRN 2011 di mana PKR hanya menang tiga kerusi daripada 49 yang dipertandingkan. - AIDCNews.
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.