Semua ahli parlimen BN perlu buat deklarasi terbuka setia kepada parti - Azalina



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meminta semua ahli parlimen Barisan Nasional (BN) supaya membuat deklarasi terbuka bagi menunjukkan kesetiaan mereka kepada parti.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata, tindakan itu bertujuan untuk menghentikan semua spekulasi dan masalah berbangkit.

Sambil merujuk kepada isu komplot pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan sedia ada yang termasuk daripada parti UMNO, Azalina menegaskan, perkara itu perlu diberikan perhatian serius.

"Justeru itu, saya berharap Jawatankuasa Disiplin parti-parti BN akan menyiasat perkara ini secara terperinci dengan kadar segera.

"Sekiranya benar dakwaan tersebut maka tindakan keras mesti diambil kerana kita tidak boleh berkompromi dalam soal sabotaj dan derhaka yang juga bertentangan dengan prinsip demokrasi negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan perkembangan terbaru itu, Azalina berkata, beliau ingin mencadangkan supaya kerajaan menggubal Undang-Undang Anti Lompat parti.

"Maka saya juga berpendapat sudah tiba masanya kerajaan menggubal Undang-Undang Anti Lompat Parti (Anti-Hopping Laws) kerana perkara ini bukan hanya soal kesetiaan kepada parti dan integriti dalam politik tetapi adalah soal pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang kita tidak boleh bertolak ansur sama sekali.

"Ini termasuk melakukan pindaan tertentu kepada kebebasan berpersatuan yang termaktub dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan supaya tiada percanggahan dengan undang-undang baharu ini nanti," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin hari ini melahirkan rasa kesal dengan tuduhan yang mengaitkan beliau antara pemimpin UMNO yang didakwa terbabit dalam gerakan untuk menggulingkan kerajaan.

Turut menafikan terbabit di dalam komplot itu hari ini adalah anggota Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri yang menafikan sekeras-sekerasnya laporan media sosial yang mengaitkan nama beliau dengan 19 anggota Parlimen lain yang dikatakan berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan.

Perkara yang sama turut dinafikan ahli parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad .

Sehubungan dengan itu, satu laporan polis dibuat beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Alam, Pasir Gudang, pada Isnin petang.

Normala berkata beliau mendapat tahu namanya tersenarai dalam 20 orang yang mahu menggulingkan kerajaan pada jam 6.30 pagi semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi pada Sabtu mendedahkan ada 'tokoh tertentu' daripada kalangan parti pemerintah yang ingin menggulingkan kerajaan.

Ahmad Zahid turut mendedahkan kewujudan komplot untuk menarik 37 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai 87 pembangkang serta seorang anggota Parlimen Bebas.

Beliau berkata ini bertujuan untuk membolehkan usul undi tidak percaya dikemukakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2016 pada Oktober ini.-Astroawani

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget