MIRI: Semua ahli Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) diminta supaya terus bersatu dan berganding bahu sebagai sebuah keluarga besar.
Pengerusi PEKIDA Miri Alias Julaihi berkata, ia penting supaya menjamin perpaduan serta keharmonian pelbagai peringkat pertubuhan.
“Semua ahli harus kekal bersatu dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa lain demi mencapai visi pertubuhan,” katanya dalam Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Pekida Miri bertempat di Dewan Suarah Miri petang semalam.
Turut hadir pada majlis adalah Koordinator Parti Rakyat Bersatu (UPP) Wilayah Utara serta Pengerusi UPP Piasau Datuk Hii King Chiong, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Lawrence Lai, Pengerusi UPP Pujut Kaunselor Bruce Chai, Pengerusi UPP Senadin Keith Chin, Ketua Imigresen Miri Roy G. Fender Entusa serta tetamu-tetamu kehormat lain.
Menurut Alias, PEKIDA salah satu pertubuhan besar dan ahli terutama generasi muda yang harus dibentuk dengan persefahaman serta semangat kekeluargaan.
“Jika kita semua tidak bersatu, maka senang untuk kita dipermain serta dijatuh oleh orang lain,” jelasnya lagi.
Majlis seperti itu katanya bakal mengukuh tali persaudaraan ahli di samping aktiviti lain sama ada yang telah diadakan mahupun perancangan pertubuhan.
Sekitar 1,000 ahli PEKIDA Miri terdiri daripada pelbagai ranting dan juga ahli keluarga hadir dalam majlis berkenaan.
Majlis sama turut menyaksikan persembahan seni silat daripada beberapa buah persatuan seni silat dan juga persembahan nyanyian secara langsung daripada kumpulan basking band Miri.-Utusan Borneo
Post a Comment