LANGKAWI: Datuk Seri Najib Razak, mahu potensi Langkawi terus dipertingkatkan supaya menjadi tumpuan pelancong berpendapatan tinggi. Pada masa ini, Perdana Menteri, berkata aspek itu belum dipenuhi walaupun Langkawi terbukti mempunyai potensi yang cukup besar.
"Langkawi mesti ada dan jenama tersendiri, untuk menarik pelancong berpendapatan tinggi ini dan pada masa yang sama, mengekalkan tarikannya untuk pelancong sedia ada.
"Untuk menarik khalayak pelancong saya fikir ini sudah berjaya dengan rekod kemasukan 3.6 juta pelancong, tetapi apa yang Langkawi belum ada ialah pelancong mewah yang belum lagi kita tumpukan.
"Ruang untuk itu ada, tetapi kita masih belum sampai ke tahap itu Jadi, itu visi saya untuk Langkawi terutama melalui Blueprint Pelancongan Langkawi 2.0," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sempena Anugerah Pelancongan Langkawi (LITA) 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini, sebentar tadi.
Perdana Menteri menegaskan potensi dimiliki Langkawi bukan sekadar pada tarikan keindahan semata-mata, sebaliknya turut disokong faktor keselamatan dan ketenangan.
"Kita ambil contoh Tunisia, Mesir dan Lebanon, tempat ini semuanya mempunyai isu dalam soal keselamatan dan Langkawi memiliki kelebihan berstatus premium dalam soal ini.
"Jadi, pastikan tak ada militan IS di Langkawi supaya pulau ini terus selamat untuk kita sasar pelancong dari China dan ASEAN seperti Singapura.
"Selain itu, kita juga perlu sasar pelancong Russia yang banyak tertumpu di Phuket dan Bangkok," katanya.
- Bharian
Post a Comment