MIRI: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tinjar Tengah mahu kaunselor di kawasan itu turun padang lebih kerap dan melihat sendiri masalah dihadapi rakyat.
Ketua Cawangan SPDP Tinjar Tengah, Andrew Amin berkata, terdapat enam perkampungan Penan di Lapok masih belum mempunyai bekalan elektrik meskipun tiang elektrik sudah didiri dua tahun lalu.
Andrew dalam kenyataan semalam berkata, kerana terlalu lama menunggu terdapat penghuni membuat penyambungan haram dari tiang elektrik berdekatan.
“Malah rumah panjang saya sendiri, Rh Merigam di Long Merigam, Lapok walaupun sudah ada tiang elektrik sejak dua tahun lalu, namun kami masih menggunakan jana kuasa elektrik sendiri.
“Selain itu, Rh Galau Ak Upau terdiri daripada 25 pintu tidak mempunyai bekalan elektrik. Masalah sama berlaku di rumah panjang Iban, Rh Marinder, Lapok,” katanya.
Andrew berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan tiga kaunselor dalam sebuah akhbar tempatan menyatakan masyarakat Penan di Lapok menikmati kemudahan elektrik hasil usaha Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran.
Dalam akhbar itu, ketiga-tiga kaunselor berkenaan menunjuk jari ke arah tiang elektrik dikatakan hasil usaha Sylvester Entri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi untuk masyarakat Penan di Lapok.
“Saya ingin menegaskan bahawa ketiga-tiga kaunselor ini tidak pernah turun padang untuk melihat sendiri apa sebenarnya berlaku. Adakah ini dikatakan pembangunan dibawa untuk kami kaum Penan?” katanya.
Andrew menambah, ketiga-tiga kaunselor ini tidak pernah turun padang melawat keadaan rumah panjang sebaliknya membuat kenyataan sembarangan dengan mengatakan terdapat kemajuan sedangkan hakikatnya hanya indah khabar dari rupa.
Andrew merupakan kaum Penan menambah, selain ketiadaan elektrik, mereka mengalami masalah jalan raya masih jalan batu dan tanah merah kecuali Rumah Wen yang dibina di bawah projek Persekutuan.
“Kami pernah meminta jambatan kayu di Rumah Bris diganti kerana strukturnya sudah rapuh namun sehingga kini masih menunggu,” katanya.
Jelasnya, keenam-enam perkampungan Penan belum dibekal dengan air bersih dan hanya bergantung dengan air hujan dan air sungai.
“Sehubungan itu, kami kaum Penan Lapok menyokong permintaan tuai rumah untuk berjumpa dengan Ketua Menteri bagi mendengar masalah kami secara peribadi,” kata Andrew lagi.
- Borneo Post Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.