Inisiatif bukti kerajaan prihatin hak rakyat, bantu tingkat taraf hidup
LIMBANG: Rakyat perlu memanfaatkan kerja penyukatan perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dengan membangun dan menerokai tanah melalui aktiviti ekonomi bagi membantu meningkat taraf hidup masing-masing.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, banyak kebaikan diterima rakyat jika mereka memanfaat segala peluang melalui keupayaan membangunkan tanah.
Jelasnya, agensi kerajaan sentiasa prihatin dan membantu dalam memberi pengiktirafan terhadap tanah NCR di negeri ini melalui inisiatif baharu penyukatan perimeter tanah dilaksana secara berterusan.
“Agensi kerajaan akan membantu untuk menerangkan peluang pembangunan tanah yang boleh disertai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Penyerahan Warta Seksyen 6 Tanah Negeri di Dewan Kampung Bidang semalam.
Jelasnya, penyertaan rakyat dalam program pembangunan tanah akan memberi pulangan ekonomi yang optimum jika rakyat bijak memanfaatkannya sebaik mungkin.
Turut sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Pembangunan Selamat Jati Yanjah dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Limbang, Arni Abdul Rahman.
Awang Tengah juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak memberitahu melalui pewartaan itu, kerajaan mengiktiraf pemilikan tanah secara ekslusif kepada rakyat.
Jelas beliau, warta tersebut membuktikan pemilikan tanah tersebut dan sempadan kawasan tanah menjadi milik kampung masing-masing.
Beliau mahu penerima warta ini akan menjaga tanah masing-masing dan menggunakannya secara optimum kerana hak mereka diiktiraf kerajaan sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap hak NCR rakyat.
Sementara itu, katanya sebanyak 436 kawasan (654,233 hektar) kawasan yang siap diukur dan 295 kawasan (425,999 hektar) kawasan sudah diwarta di bawah Program Penyukatan Peimeter tanah NCR di negeri ini setakat 31 Oktober lepas.
“Manakala sebanyak 46 kawasan (15,086 hektar) kawasan siap diukur, dan 36 kawasan (12,227 hektar) kawasan telah diwarta untuk bahagian Limbang.
“Jumlah itu membabitkan 22 kawasan (7,918 hektar untuk Limbang dan 14 kawasan (4,309 hektar) pula untuk daerah Lawas,”ujarnya lagi.
Pada majlis itu sebanyak empat kawasan menerima warta rizab komunal Bumiputera termasuk Kampung Ranggu dan Pengkalan Jawa, Kampung Induk Sangkar, Kawasan Kubong dan Ulu lubai dan Kawasan Pandak.-Utusan Borneo
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.