BAU: Vesel nelayan laut dalam wajar dilengkapi peralatan ‘Global Positioning System’ (GPS) bagi mengelak melebihi sempadan perairan Malaysia serta menceroboh wilayah lain.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Anthony Nogeh Gumbek berkata, kementeriannya membekalkan peralatan berkenaan kepada ramai nelayan dan terus menyediakannya dari semasa ke semasa.
“Kita menyediakan nelayan laut dalam dengan GPS. Saya tidak ada angka sebenar yang menerima peralatan berkenaan tetapi percaya ia banyak.
“Kita mahu nelayan laut dalam ini memasang GPS pada vesel supaya mereka tidak putus hubungan semasa berada di laut,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival Mas Gading@Bau di sini, semalam.
Katanya, nelayan yang tidak dipasang GPS boleh menyebabkan mereka sesat dan tanpa menyedari memasuki wilayah orang lain termasuk perairan negara jiran, Indonesia.
“Terdapat satu kes kira-kira dua bulan lepas, nelayan kita dari Beladin telah sesat dan ditangkap pihak berkuasa negara jiran. Namun, kes itu kini telah diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan amat mengambil perhatian mengenai perkara berkenaan dan menggesa kepada semua nelayan laut dalam memastikan kapal mereka dilengkapi dengan GPS.
Berhubung karnival diadakan, Nogeh berkata, ia adalah permulaan kepada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat kebangsaan yang diadakan di Samarahan pada 27 November hingga 3 Disember.
“Karnival ini juga menjadi salah satu pusat sehenti kepada semua peladang, penternak dan nelayan berpotensi untuk mendapatkan maklumat mengenai sektor yang mereka minati.
“Sebagai karnival pertama seumpamanya di Mas Gading, kami berharap ia membantu petani tempatan mempromosi produk pertanian mereka,” katanya.
Nogeh berkata, kerajaan melalui kementeriannya melaksanakan pelbagai program menggalak pembabitan masyarakat tempatan dalam pertanian dan industri asas tani untuk mempertingkatkan sosioekonomi mereka.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Muda (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Azini Shahid dan pegawai daerah Bau Inting Nyami.
- Borneo Post Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.