Polis soal siasat penganjur Bersih Kuching, ketua DAP

Polis Sarawak memanggil 4 individu yang terlibat dalam Bersih 4 di negeri itu dan menyoal siasat mereka, susulan laporan polis yang diterima terhadap perhimpunan itu.
Mereka ialah pengerusi pengelola Bersih Kuching Nicholas Mujah, jurucakap Karen Shepherd, pengacara perhimpunan Peter John Jaban dan ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Kesemua mereka tampil ke Ibu Pejabat Polis Kuching pada 2 petang tadi bagi memberikan kenyataan.

Peter John, Karen dan Chong selesai diambil keterangan 3 jam kemudian. 

Setakat 6 petang tadi, Mujah dilaporkan masih disiasat berhubung 4 laporan polis terhadap himpunan pada Sabtu itu.

Keempat-empat mereka dipanggil sehari selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengetuai himpunan haram itu.

Ketua Polis Kuching ACP Roslan Bek berkata 2 laporan itu berhubung kain rentang dan plakad yang dianggap berunsur hasutan yang dibawa peserta himpunan.

Salah satunya yang dibawa dari Pusat Beli Belah Taman Sri Sarawak ke padang ragbi Song Kheng Hai di mana perhimpunan berlangsung dan satu lagi berhubung tayangan video tanpa permit yang menyalahi Akta Hiburan Sarawak.

Salah satu kain rentang yang dibawa penyokong DAP, didakwa provokatif dengan tertera "Bersihkan Malaysia, Undurlah Najib".

Polis dilaporkan merampas beberapa plakad berkenaan.

Shepherd pada satu sidang media petang ini berkata, ahli jawatankuasa lain akan dipanggil kemudian.

Chong dalam satu kenyataan berkata, DAP akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka berhubung penglibatan parti itu dalam himpunan Bersih 4 di Kuching.

Beliau berkata kepada polis ketika direkodkan kenyataan sebelumnya yang tidak salah mendesak Najib meletak jawatan dalam himpunan itu.

"Ketika Bersih 4 pada 29 Ogos, DAP merupakan satu-satunya parti secara terbuka menggesa Najib meletak jawatan.

"Gesaan itu turut disokong majoriti rakyat yang menghadiri himpunan itu,” katanya.

Shepherd berkata walaupun himpunan itu untuk mengutarakan isu yang melanda negara, ia bukan platform parti politik atau ekstremis.

"Himpunan Bersih bukan untuk ahli politik bercakap kepada rakyat tetapi orang biasa bercakap kepada ahli politik,” katanya.

Berhubung tanda tangan yang dikumpul mendesak pilihan raya bebas dan adil serta Najib meletak jawatan, Shepherd berkata mereka akan menyerahkannya kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada Khamis. – 31 Ogos, 2015.

- Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget