PBB bersungguh-sungguh mahu singkirkan Baru Bian di Ba’Kelalan


KOMEN: Ba’Kelalan, kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipegang pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dijangka termasuk dalam radar BN bagi pilihanraya negeri (PRN) akan datang.

Selain daripada menjadi batu penghalang bagi usaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk merampas kerusi itu, Baru juga telah menolak jemputan menyertai parti itu.

Lima bulan lalu, Ketua Menteri dan presiden PBB Adenan Satem menjemput Baru untuk menyertai BN Sarawak agar beliau dapat membantu masyarakatnya, iaitu etnik Lun Bawang mendapat kemajuan.

Adenan berkata yang ketua PKR itu berada bersama “pihak” yang salah.

Tiada seorang pun yang berfikiran siuman akan menolak untuk menyertai parti pemerintah, terutama ketua BN Negeri iaitu PBB. Apatah lagi jika jemputan itu dari ketua menteri sendiri. Siapa tahu jika anda akan dilantik menjadi menteri dan mendapat setiap kelebihan dan manfaat yang hadir bersamanya.

Tetapi tidak bagi Baru, seorang peguam terkemuka yang dikenali sebagai pejuang hak tanah adat peribumi terhadap tanah nenek-moyang mereka, termasuk “pemakai menoa” dan “pulau galau”.

(Pemakai menoa adalah terma bahasa Iban yang merujuk kepada kawasan kekuasan komuniti rumah panjang, di mana hak adat kepada sumber di sana dicipta oleh nenek-moyang yang merintis kawasan itu; pulau galau adalah kawasan hutan - sebahagian atau keseluruhan – yang dikira tanah adat bagi individu atau komuniti merentasi generasi dan kini ditinggalkan dan tidak diusahakan.)

Penolakannya itu dianggap sebagai “penghinaan” kepada Adenan. Mungkin kerana itu, beliau dianggap sebagai “musuh” nombor satu BN dan perlu disingkirkan.

Sebab lain pula adalah di kalangan 16 kerusi yang dipegang pembangkang, tiada yang lebih penting daripada Ba’Kelalan bagi PBB. Ia berada dalam kawasan parlimen Lawas yang berada di bawah BN. Sebuah lagi DUN di kawasan parlimen itu adalah Bukit Sari yang diwakili pemimpin veteran PBB Awang Tengah Ali Hassan.

Hanya Ba’Kelalan yang tidak di bawah BN. Mereka cuba untuk memenangi kembali kerusi itu sebelum ini. Misalnya pada PRN 2011, calon Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Willie Liau yang disokong PBB kalah kepada Baru dengan perbezaan undi 473 undi.

“Saya tahu menjadi sasaran, melihat kepada jumlah lawatan Adenan ke Lawas sejak beliau menjadi ketua menteri Februari tahun lalu,” kata Baru.

Ketika salah satu lawatan itu, Adenan mengumumkan projek-projek bernilai RM29.2 juta di Ba’Kelalan, dan lebih pembangunan yang bakal dijalankan.

Memang sudah menjadi taktik tipikal BN menggunakan projek kecil di pedalaman untuk membeli undi.

Adenan juga mengumumkan cadangan untuk menukarkan 120,000 hektar tanah di Ulu Trusan menjadi hutan simpan. Ketika pengumuman dibuat, beliau nampaknya tidak tahu bahawa kesemua tanah tersebut adalah tanah adat peribumi milik etnik Lun Bawang.

Masyarakat Lun Bawang membantah cadangan itu dan membawanya kepada Baru, yang mengancam memfailkan saman kepada kerajaan jika ia diteruskan.

Menurut Baru, jika rancangan itu dilaksanakan, akibatnya hanya sebahagian kecil tanah yang tinggal untuk perkampungan masyarakat itu. Pada masa sama, mereka akan kehilangan tempat memburu, menangkap ikan dan mencari makanan.

Menyedari “kesilapan” besar itu, Adenan pada 14 Ogos lalu mengumumkan cadangan itu sudah digantung.

Namun niat kerajaan itu telah menimbulkan rasa syak wasangka masyarakat Lun Bawang terhadap Adenan.

Bagi Baru pula, itu adalah satu kemenangan dan dapat membuatkan pengundi sekali lagi memilihnya, agar beliau terus dapat mempertahankan kebebasan agama, tanah, hak dan kebajikan mereka.

Namun beliau bukanlah mengambil kesempatan terhadap masyarakat di sana, memandangkan beliau telah bekerja selama 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu sejak beberapa bulan lalu.

Baru tidak pasti sama ada lawannya adalah daripada SPDP atau PBB. Sementara SPDP telah mengenalpasti calonnya sendiri, PBB juga telah menyenarai pendek dua calon “boleh menang” (termasuk seorang calon perempuan) untuk kerusi itu.

Pertelingkahan antara dua komponen BN bagi kerusi itu pasti memberikan kelebihan kepada Adenan.

“Saya bersedia untuk berhadapan mana-mana calon mereka – sama ada daripada SPDP ataupun PBB. Saya yakin rakyat di sini masih memerlukan saya untuk mewakili mereka,” katanya lagi.-The Ant Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget