Isu Hudud Sudah dipolitikkan: Dr Mahathir

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan isu hudud sudah dipolitikkan sehingga wujud kekeliruan, percanggahan pendapat serta penentangan terbuka oleh kelompok tertentu.

Bekas Perdana Menteri turut menyifatkan tindakan PAS membangkitkan semula isu hudud adalah kerana kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Dewan Rakyat, sehingga mendorong sesetengah pihak mengambil kesempatan meraih sokongan politik.

“Saya berpegang kepada ajaran Islam. Dalam al-Quran juga disebut apabila kamu mahu hukum, maka hukumlah dengan adil, jika tidak adil, ia bukan Islam namanya. Dalam hudud dan al-Quran pun, yang ditekankan adalah keadilan.


“Di Malaysia, kamu tidak akan dapat keadilan jika cuba menggunakan undang-undang hudud pada orang Islam, manakala bukan Islam pula dikecualikan,” katanya selepas melancarkan buku A UN Chronicle karya Tan Sri Razali Ismail di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, pandangannya mengenai hudud selama ini masih konsisten, bukan bermakna beliau menolak hukum itu atau bersikap sekular, tetapi berasaskan apa yang dikehendaki Islam.

“Kalau hudud dilaksana kerana Islam saya setuju, tapi kini mungkin semuanya kerana politik, bukan Islam,” katanya.

Serah kepada kerajaan

Kata beliau, terserah kepada kerajaan sama ada mahu melaksanakan hukum itu atau tidak, namun persediaan sewajarnya perlu dibuat sebelum pelaksanaan hudud diberi keutamaan.

Kerajaan PAS Kelantan baru-baru ini dilaporkan mahu membawa usul rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan hudud di Dewan Rakyat, bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini.

Niat PAS itu bagaimanapun ditentang sekutunya, PKR dan DAP, namun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan supaya satu jawatankuasa teknikal hudud peringkat kebangsaan dibentuk bagi meneliti perancangan itu sebelum PAS membentangkan usul pelaksanaannya di Parlimen nanti.- berita harian
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget