Umno atau DAP: Rakyat pilih yang dipercayai


SHAH ALAM – Rakyat bakal memilih pemimpin dan parti yang boleh dipercayai dan mampu menerajui negara ke arah sosiopolitik yang stabil serta ekonomi yang makmur.

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata, strategi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi peringatan kepada rakyat dan ahli-ahli Umno dilihat kurang berkesan terutama kepada golongan yang faham makna demokrasi.

“Itu adalah satu strategi ancaman yang boleh sahaja mempengaruhi sebahagian rakyat tapi sebahagian lagi saya tidak fikir akan termakan dengan kenyataan dan hujah sedemikian.

“Dalam konteks sekarang, kenyataan yang sedemikian sukar diterima oleh yang celik politik kerana kita tidak harus memperkecilkan keupayaan rakyat berfikir dengan bijak. Lebih-lebih lagi ramai masyarakat sekarang mempunyai pendidikan tinggi. Strategi itu saya fikir, kurang berkesan,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno, Najib memberitahu bahawa rakyat di negara ini hanya ada dua pilihan sama ada Umno atau DAP untuk memerintah Malaysia.

Sementara itu, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata pandangan Najib itu mungkin kerana realiti hari ini yang dilihat bukan sahaja oleh Umno malah rakyat di mana DAP lebih dominan berbanding rakan-rakan pakatan pembangkangnya yang lain.

“Jadi, seolah-olah sekiranya Pakatan Harapan yang memerintah, DAP yang akan menonjol dan mengetuai kerajaan Persekutuan. Tapi ini bukan sentimen Umno sahaja, rakyat biasa pun nampak benda sama. Mereka nampak DAP itu dominan.

“Tapi itu persepsi daripada Umno supaya rakyat faham akan keadaan tersebut sekiranya bukan mereka yang memerintah. Perpecahan dalam pakatan pembangkang sebelum ini...mungkin Umno cuba memberi peringatan kepada perwakilan yang datang dan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya DAP juga perlu menyedari bahawa parti itu tidak boleh menunjukkan imej yang dominan.

“DAP menonjolkan diri dengan mengarah atau mengatur kedudukan dalam Pakatan Harapan. Jika begitu, rakyat akan berpersepsi dan melihat DAP dominan.

“Orang Melayu kemungkinan besar akan menolak Pakatan Harapan. Jika itu keadaan yang berlaku,” katanya.

- Sinar Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget