KUALA LUMPUR 15 DIS: KEADILAN mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjawab skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan bersama, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua berkata, penghujahan peguam Tommy Thomas jelas mendesak kehadiran Perdana Menteri di mahkamah untuk disoal balas supaya rakyat amnya tenteram dan tidak berprasangka dengan kemelut 1MDB serta penerimaan derma RM2.6 bilion.
Tian, Nurul Izzah dan peguam Sivarasa hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tian, Nurul Izzah dan peguam Sivarasa hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Dengan semua jalan seolah-olah tertutup dalam mencari kebenaran, KEADILAN komited dalam menggunakan prosedur pendedahan mahkamah seperti yang tertakluk pada Peraturan Mahkamah 2012.
“Langkah ini merupakan sebuah percubaan bagi rakyat Malaysia untuk mendedahkan skandal terbesar dalam sejarah Malaysia yang melibatkan Perdana Menteri,” kata mereka.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, prosedur pendedahan terbukti menyelesaikan saman sivil di serata dunia termasuk England, Australia, India, Hong Kong dan Singapura.
“Rakyat Malaysia pada ketika ini masih lagi tidak diberikan jawapan, walaupun sesudah Perhimpunan Agung Umno 2015.
“Ketika sidang Parlimen yang lepas di mana timbalan beliau memberikan jawapan acuh tidak acuh selama kurang tiga minit kepada skandal RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri,” tambahnya.
Sebelum ini, Wall Street Journal dan Sarawak Report mendedahkan wang haram, penyelewengan dan rasuah pilihan raya melibatkan Perdana Menteri.
Pimpinan KEADILAN memfailkan empat permohonan berbeza pada 28 Ogos 2015 untuk pendedahan dokumen di mahkamah sekaligus sebagai saman sivil untuk membatalkan keputusan kerusi yang dimenangi Umno BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Saman sivil difailkan pada 12 Ogos 2015, dan menamakan Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, 1MDB dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan.
Menurut Tian Chua merangkap Ahli Parlimen Batu, pada 9 Disember 2015 sebuah afidavit difailkan yang mengandungi 15 persoalan utama yang sekiranya ia dijawab dengan bertanggungjawab, ia akan mendedahkan kebenaran.-Keadilan Daily
Post a Comment