Sibu: Cubaan Malaysia Airports Berhad (MAB) menerapkan ciri kebudayaan tempatan bagi operasi bangunan Lapangan Terbang Sibu mengundang respons negatif penduduk Sarawak.
Penggunaan perkataan 'Keling' dan 'Kumang' bagi menggantikan perkataan 'Lelaki' dan 'Wanita' pada papan tanda pintu tandas balai berlepas lapangan terbang itu bukan sahaja tidak sesuai, malah mengguris hati masyarakat Iban.
Ia diviralkan sejak semalam dan mengundang rasa marah pelbagai pihak, termasuk Pertubuhan Belia Dayak Sarawak (Pebedas) cawangan Sibu yang membuat laporan di Balai Polis Sibu Jaya pada jam 1 tengah hari, hari ini.
Ketika memperjelaskan makna perkataan itu, Pengerusi Pebedas, Mathew Moilan berkata Keling dan Kumang ialah pasangan dari kayangan iaitu Panggau Libau dan Gelong, selain tujuh dewa utama disembah masyarakat Iban yang masih mengamalkan kepercayaan lama mereka.
"Keling dan Kumang adalah dewa dan dewi bagi masyarakat Iban," katanya yang sedih apabila nama dua tokoh mereka anggap suci itu dijadikan papan tanda pintu tandas.
Presiden Persatuan Dayak Miri Serawa Budol pula berkata bagi masyarakat Iban, Keling adalah pahlawan gagah, berani dan bijak manakala Kumang pula selain cantik, mempunyai pelbagai kemahiran yang menjadi ikutan wanita Iban sehingga kini.
Menurut beliau, MAB Sibu sepatutnya peka mengenai perkara itu dan sekiranya ingin mempromosi bahasa Iban, mencukupi menggunakan ‘Lelaki' dan 'Indu'.
Berikutan itu, pengurus MAB Sibu Zainuddin Abu Nasir memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Iban di negeri ini pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.
MAB, katanya tiada niat melukakan hari masyarakat Iban kerana sebelum ini, pihaknya melihat perkataan itu boleh digunakan untuk menggambarkan lelaki dan wanita.
"Kami kesal dengan kejadian ini dan kami berjanji ia tidak akan berulang di mana-mana lapangan terbang MAB di negara ini," katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supt Martin Khoo yang turut hadir berkata sidang akhbar itu berikutan permohonan Zainuddin supaya dapat meminta maaf kepada masyarakat Iban.
"Kita harap perkara ini tidak dipanjangkan lagi selepas ini agar tidak lagi mengguris hati masyarakat. Begitu juga kita mahu Pebedas boleh menguar-uarkan permohonan maaf MAB di Facebook agar masyarakat maklum mengenainya," katanya.
- myMetro
Post a Comment