Semakin sukar promosikan Malaysia di pentas dunia, kata Nazir Razak

Mempromosikan Malaysia di pentas dunia sekarang menjadi lebih sukar kerana kontroversi membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan isu-isu lain, tegas Datuk Seri Nazir Razak.
Pada profil Instagram beliau, pengerusi CIMB Group itu menyiarkan gambar pada 1992 bersama rakan-rakannya di London, di mana beliau buat pertama kali mengikuti pameran bergerak mengenai pelaburan.

"Saya mempromosikan Malaysia untuk masa yang lama dan ia tidak pernah menjadi lebih sukar daripada apa yang berlaku sekarang kerana 1MDB dan isu-isu yang lain," katanya, sambil menambah beliau akan berkongsi pentas dengan Profesor Danny Quah pada Persidangan Tahunan Pelabur CIMB London di London, Isnin ini.

Nazir, yang merupakan adik bongsu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah berulang kali melontarkan kritikan ke atas syarikat milik penuh kerajaan itu yang dibebani hutang RM42 bilion dalam tempoh 6 tahun sejak penubuhannya.

1MDB adalah idea Najib dan perdana menteri juga menjadi pengerusi lembaga penasihat syarikat itu.

Najib juga dikritik susulan derma politik berjumlah RM2.6 bilion daripada penderma Timur Tengah yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya. 

Pengkritiknya, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendesak beliau meletak jawatan manakala pembangkang baru-baru ini membentangkan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri di Dewan Rakyat.

Sabtu lalu, Nazir memberitahu Reuters ketidaktentuan politik yang dihadapi kerajaan pimpinan abangnya merupakan kebimbangan terbesar bagi pelabur asing yang melihat kepada Malaysia sebagai negara Asia Tenggara yang stabil satu masa dulu. 

Beliau berkata, "isu utama bagi Malaysia" ialah mengembalikan reputasinya sebagai negara yang mempunyai kestabilan politik. 

"Lebih cepat kita berurusan dengan isu yang menyelubungi 1MDB ini, lebih baik," katanya dipetik sebagai berkata.

Walaupun beliau tidak pernah menyebut tentang Najib, namun Nazir berkali-kali mendesak supaya siasatan yang lebih telus dan cepat ke atas syarikat pelaburan kontroversi itu. 

Beliau juga menyuarakan kebimbangan tentang kejatuhan nilai ringgit dan kelembapan ekonomi yang melanda Malaysia, dengan menggesa kerajaan menjelaskan isu-isu yang berkaitan

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget