Sarawak terus menjadi destinasi pilihan pelabur, kata Fadillah


KUCHING: Sarawak terus menjadi destinasi pilihan pelabur didukung oleh pembangunan pesat, lokasi strategik dengan akses kepada ASEAN, polisi perniagaan yang stabil serta kekayaan sumber semula jadi di negeri ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pada 2014, Sarawak merupakan negeri tertinggi di Malaysia dari segi pelaburan langsung asing (FDI) iaitu RM8.4 bilion disumbang oleh pelaburan dalam industri berasaskan tenaga di SCORE.

Malah kerajaan berharap Sarawak akan terus menarik pelabur asing dan tempatan meskipun berhadapan dengan cabaran besar dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi berikutan kekurangan infrastruktur yang baik.

“Sebab itu, Sarawak menjadi tumpuan utama bagi pembangunan infrastruktur untuk kerajaan persekutuan menerusi beberapa inisiatif seperti projek SCORE, Pan Borneo Highway dan Hidroelektrik Baleh.

“Lebih penting, pembangunan infrastruktur asas telah menjadi keutamaan bagi kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat Sarawak secara keseluruhannya menerusi penambahbaikan, pembinaan dan pembangunan jalan raya baharu, sistem bekalan air dan elektrik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya sempena Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan Sarawak Kedua di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Tambah Fadillah, kesungguhan kerajaan memperbaiki infrastruktur di negeri ini dapat dilihat di mana liputan jalan raya di negeri ini telah meningkat daripada 4,565 kilometer (km) pada 2009 kepada 5,885 km pada 2014.

Sebagai tambahan, 250 km jalan balak lama akan dinaik taraf untuk menyediakan aksesibiliti kepada 31,512 penduduk di kawasan luar bandar bagi memastikan mobiliti mereka dari kawasan luar bandar ke bandar.

Dari segi bekalan air pula, 82 peratus kediaman di kawasan luar bandar Sarawak telah menerima bekalan air pada 2014 berbanding 59 peratus pada 2009 dan dijangka mencapai 99 peratus menjelang penghunjung Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Begitu juga dengan bekalan elektrik di mana 91 peratus isi rumah telah menikmati bekalan elektrik sehingga 2014 berbanding 67 peratus pada 2009.

“Saya yakin projek-projek infrastruktur utama seperti Pan Borneo Highway dan Hidroelektrik Baleh akan memberi impak positif kepada rakyat Sarawak dan menawarkan peluang perniagaan baharu pada masa depan.

“Pan Borneo Highway yang bermatlamat membina jalan tanpa tol terpanjang di Malaysia menghubungkan Sarawak dan Sabah akan membuka peluang ekonomi dan melonjakkan pembangunan di sepanjang rantau ini.

“Manakala Projek Hidroelektrik Baleh dijangka akan membawa pelbagai manfaat kepada rakyat Sarawak dari segi peluang pekerjaan dan rantaian bekalan apabila projek siap dilaksanakan nanti,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata sektor pembinaan di Sarawak dijangka berkembang dua kali ganda kepada RM6.2 bilion menjelang 2020 di bawah RMK11.

Katanya sektor pembinaan di Sarawak telah menyaksikan perkembangan dengan pertumbuhan 11.1 peratus sepanjang tempoh lima tahun lalu daripada RM2.6 bilion pada 2010 kepada anggaran RM3.7 bilion pada 2015.

Keadaan yang sama dijangka dalam RMK11 di mana pertumbuhan industri dijangka meningkat dua kali ganda kepada RM6.2 bilion menjelang 2020 atau 10.5 peratus pertumbuhan dalam tempoh lima tahun akan datang.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget