Simunjan berdepan ancaman


SIMUNJAN: Sejak 52 tahun kebelakangan ini, bandar Simunjan yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai tempat terbinanya salah satu “istana” keluarga Brooke, telah berdepan ancaman.

Ini bukan kerana kekurangan pembangunan dan aktiviti ekonomi tetapi akibat hakisan Batang Sadong yang serius.

Ramai pekedai telah meninggalkan bandar bagi mencari kehidupan lebih baik sehingga Simunjan dianggap bandar mati.

Di pagi hari, terdapat aktiviti di mana penduduk mencari barangan keperluan daripada nelayan Melayu serta petani Iban yang menjaja hasil tangkapan dan hasil hutan.

Tetapi menjelang tengah hari, Simunjan sunyi sepi kecuali bagi beberapa gerai makan di pasar yang beroperasi sehingga jam 8 malam.

Hakisan tanah memusnahkan tebing sungai berhampiran bandar pada kadar 20 kaki setahun, dan ia berlaku disebabkan air pasang berpusar.

Kesan semakin buruk akibat peningkatan bot dan motor yang menyusuri di antara Simunja dan bandar-bandar lain, yang menghasilkan ombak apabila dilunsurkan.

Bandar dengan 60 kedai ini dibina 50 tahun lalu, selepas bandar asal ditenggelamkan oleh Sungai Sadong bersama-sama kuil Buddha, pejabat kerajaan, istana Rajah serta kediaman pegawai kerajaan yang didiami keluarga Brooke.

Kini, bandar ini turut berdepan ancaman serupa.

Berdasarkan kadar hakisan, bandar ini bakal hilang dalam tempuh 15 ke 20 tahun lagi.

Dua puluh tahun lalu, terdapat rancangan memindahkan bandar dan pejabat kerajaan ke Kampung Melanjuk, kira-kira 5 batu di pedalaman dengan 30 ekar tanah dibeli kerajaan bagi tujuan tersebut.

Tetapi nampaknya, para pekedai kurang gemarkan idea itu.

Hanya bangunan kerajaan seperti pejabat daerah Simunjan telah berpindah ke sana.

Terdapat beberapa sebab mengapa pekedai keberatan, salah satunya ialah kerana bandar bergantung kepada dagangan sungai bagi kelangsungannya. Namun tapak yang dicadangkan tidak menarik bagi perniagaan.


Ramai yang berkata modal besar diperlukan dan mereka tidak mampu membayarnya di kemudian hari.

Para pekedai berpendapat apa yang diperlukan ialah tembok bagi menghalang hakisan ombak besar dan air pasang.

Masalah berkurun lama itu pernah dibawa ke perhatian Rajah Brooke dan kerajaan kolonial sehingga kepada kerajaan hari ini selama beberapa kali.

Brooke serta kerajaan kolonial telah melakukan beberapa perkara di dalam usaha menyelamatkan bandar asal Simunjan dengan kajian dilakukan bagi membina tembok pemisah.

Bagaimanapun, kajian mendapati keadaan tanah di sepanjang sungai akan menyebabkan kerajaan berbelanja nilai yang tinggi bagi membina tembok tersebut.

Cadangan itu diketepikan kerana kerajaan berasa wang boleh digunakan bagi projek lebih bermakna seperti sekolah dan klinik atau hospital, berbanding menyelamatkan bandar dengan populasi yang kecil.

Satu-satunya solusi menurut kerajaan ialah bagi bandar dipindahkan ke pedalaman.

Keengganan para peniaga berpindah menyebabkan projek yang mungkin menjana aktiviti ekonomi tidak dibangunkan.

Malah siapnya jalanraya Simunjan/Punda 30 tahun lalu yang menghubungkan Simunjan dengan Simanggang tidak banyak membantu.

Sebaliknya semakin ramai yang berkunjung ke Serian bagi melakukan pelbagai urusniaga.

Simunjan sebenarnya mampu lebih membangun dengan siapnya Jambatan Batang Sadong pada 2017 kelak, serta jalanraya pesisir pantai dari Kota Samarahan ke Sebuyau, Pusa, Kabong, Roban dan Saratok.

Projek projek ini dijangka menjana pembangunan ekonomi dan pertanian di sekitar Simunjan.

Sebatang jalan telah dibina menghubungkan Simunjan dengan pasar Sebangan yang juga pusat industri perikanan.

Hasil tangkapan dan lain lain diangkut dari bazar tersebut ke Simunjan dan Serian.

Perjalanan ke Kuching dan Simunjan menyusuri jalan pesisir pantai mengambil masa sejam setengah dan orang ramai dari Kuching dijangka berkunjung ke Simunjan.

Bandar ini juga dihubungkan dengan jalanraya Simunjan/Gedong yang baru dibuka serta jalan Simunjan/Punda.

Pihak berkuasa kini memikirkan usaha membangunkan industri pelancongan di sini kerana ia bakal membawa keuntungan kepada bandar Simunjan.

Terdapat air terjun menarik di Gunong Ngili serta tinggalan lombong arang baru keluarga Brooke

Monyet proboscis yang dipanggil “rasong” oleh kaum Iban pula dapat ditemui di sepanjang Sungai Simunjan.

Air pasang berpusar di Batang Sadong juga sebenarnya menjadi tarikan pelancong ke sini.

Dengan terbinanya jambatan dan jalan pesisir pantai, bandar Simunjan memiliki masa depan cerah dan sekali lagi akan menyaksikan pembukaan ladang-ladang bagi tanaman pisang, kelapa, getah, lada hitam serta kelapa sawit.

Itupun, sekiranya ia tidak tenggelam sebelum itu.-Roketkini (Joseph Rawie)
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget