Najib Jamin Lebih Kuasa Autonomi Kepada Sarawak Dan Sabah



KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan lebih banyak kuasa pentadbiran membabitkan jabatan dan agensi persekutuan bakal diserahkan kepada kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak dalam usaha merangsang pembangunan di kedua-dua negeri terbabit.

"Inisiatif berkenaan juga mampu meningkatkan sistem penyampaian dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, sekali gus menangani masalah pertindihan kuasa yang sering berlaku sebelum ini hingga menyebabkan berlaku kelewatan projek pembangunan dilaksanakan," katanya lagi.

Menyatakan beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Dr Ali Hamsa) untuk meneliti perkara ini, Najib menambah, ianya termasuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sabah, begitu juga Sarawak.

"Terdapat berlaku banyak pertindihan kuasa ketika imi di peringkat Persekutuan dan negeri, namun saya yakin kita boleh mengatasinya dengan pemberian lebih banyak 'empowerment' kepada Sabah dan Sarawak," tambahnya lagi.

Najib berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2015 di Padang Merdeka, di sini sebentar tadi.

Beliau mengulas, bentuk kuasa itu sedang diteliti dan bakal diumumkan tidak lama lagi selepas proses perbincangan mengenainya selesai.

"Ianya bukan sesuatu yang sukar dilakukan kerana kita berada dalam satu pasukan di peringkat Persekutuan dan kedua-dua negeri," katanya sambil menambah, mana kuasa yang boleh diserahkan, ianya akan diberi kerana ia diyakini mampu membawa banyak kesan positif.

"Maka itu, tiada sebab mengapa Sabah dan Sarawak perlu keluar dari Malaysia seperti yang dimahukan segelintir pihak kerana Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi perhatian serius terhadap keperluan kedua-dua negeri terbabit, begitu juga rakyatnya," katanya lagi.

"Apabila Sarawak dan Sabah membuat keputusan merdeka melalui Malaysia, ia adalah keputusan keramat yang seharusnya dipertahankan. Apa juga yang berlaku, kita tetap membantu dan mempertahankan Sabah dan Sarawak."

Tambah Najib lagi, atas semangat itu jugalah, beliau meminta sambutan Hari Kebangsaan diraikan tanpa sebutan tahun kemerdekaan bagi mewujudkan semangat penyatuan dan kekitaan di kalangan rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak. - Sarawakiana

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget