KUCHING: Tindakan wakil rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP) membantah keputusan kerajaan negeri memohon peruntukan tambahan RM500 juta daripada kerajaan pusat untuk pembangunan luar bandar menunjukkan mereka tidak sensitif dengan keperluan rakyat di kawasan berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata tindakan itu juga jelas menunjukkan mereka tidak kasihan melihat kehidupan penduduk luar bandar yang selama ini tidak mengecapi nikmat pembangunan seperti penduduk bandar.
“Kita tahu Sarawak negeri yang sangat luas, sama besar dengan Semenanjung Malaysia, masih ramai rakyatnya miskin lebih-lebih lagi di luar bandar.
“Oleh itu kita mengemukakan permohonan peruntukan ditambah RM500 juta kepada kerajaan pusat untuk membangunkan luar bandar.
“Namun malangnya wakil rakyat DAP membantah (usaha itu). Tidak tahulah kenapa mereka membantah. Apakah alasan mereka?
“Adakah mereka tidak kasihan dengan orang di luar bandar, benci dengan orang luar bandar, benci dengan Bumiputera,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang dan Tupong di Bangunan DUN lama di sini semalam.
Adenan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata jurang kemiskinan penduduk luar bandar dengan bandar di negeri ini masih besar dan ia mesti dirapatkan.
“Jurang pendapatan penduduk bandar dan luar bandar begitu ketara, bukan bererti kita mahu pendapatan mereka setara tetapi sekurang-kurangnya dirapatkan,” katanya.
Menurut Adenan, Bumiputera seperti Melayu, Orang Ulu, Iban, Bidayuh dan Melanau masih ramai tinggal di luar bandar yang jauh ketinggalan daripada pelbagai aspek pembangunan.
“Syukur permintaan kita ini telah diluluskan kerajaan pusat. Bermakna akan banyak lagi pembangunan infrastruktur akan dibina di luar bandar antaranya jambatan di Bako, Sibuti dan Long Lama,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu bahawa kerajaan negeri memohon peruntukan tambahan bagi tujuan bantuan bulanan orang kurang upaya (OKU) di Sarawak kerana bantuan diberikan ketika ini tidak mencukupi.
Katanya kos sara hidup yang tinggi sekarang menyebabkan bantuan bulanan sekitar RM100-RM200 kepada OKU tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian mereka.
“Saya berharap permohonan kita ini akan ditunaikan demi kepentingan golongan ini yang juga perlu dijaga sama seperti golongan normal,” ujarnya.
- Borneo Post Online

Post a Comment