Betul kata Najib, M’sia belum capai tahap negara gagal



KOMEN: Rakyat Malaysia yang berkata negara kita adalah sebuah “negara gagal” patut tutup mulut dan dengar sahaja kata-kata Perdana Menteri kita yang terhormat Najib Razak.

“kita tidak sempurna dan di hadapan anak-anak muda ini, saya berani mengatakan bahawa kita bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna… Namun harus juga saya tegaskan, Malaysia bukan sebuah negara yang gagal,” katanya ketika berucap Insititut Penilaian Negara (Inspen) pada 18 Ogos lalu, seperti dipetik Bernama.

Tambahan pula Indeks Negara Gagal 2015 yang dikeluarkan oleh pertubuhan Fund for Peace dan majalah Foreign Policy menyokong kenyataan Najib bahawa Malaysia masih tidak mencapai tahap negara gagal.

Kita diletakkan di tahap “amaran rendah” pada nombor 115 daripada 178 negara yang diselidik. Menurut indeks itu kita mendapat markah 65.9, dengan markah 120 adalah terburuk dan 0 menandakan tahap terbaik.

Sebagai perbandingan, Finland berada di kedudukan terbaik dengan markah 17.8 manakala Sudan Selatan terburuk dengan markah 114.5.

Memang, walaupun kita tidaklah sehebat Finland, tetapi tidaklah seteruk Sudan Selatan. Bukankah di sini tiada lelaki bersenjata yang berdiri di sebalik kawat berduri dan menguatkuasakan setiap arahan?

Seperti yang dikatakan Najib, kita bukanlah sempurna dan baru sahaja di tahap “amaran rendah” menuju kegagalan. Masih tidak gagal. Titik.

Indeks Negara Gagal mengambil kira 12 kriteria dengan markah bermula kosong hingga sepuluh. Ia kemudian dijumlahkan untuk mendapatkan markah keseluruhan.

Kriteria tersebut adalah:

  • Tekanan demografi yang meningkat

  • Pergerakan besar-besaran pelarian atau golongan tidak bernegara

  • Kewujudan kelompok tertentu yang menyimpan dendam atau rasa kecewa

  • Pelarian warga yang kronik dan berterusan

  • Kemiskinan dan kemerosotan ekonomi yang parah

  • Keabsahan kerajaan dipersoalkan

  • Pencabulan terhadap hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang

  • Aparat keselamatan (misalnya salahguna untuk menekan warga)

  • Kemunculan puak elit (seperti jurang antara pemerintah dan rakyat)

  • Campur tangan pihak luar

Daripada senarai ini sahaja kita dapat memahami mengapa Najib dengan penuh yakin mengatakan bahawa Malaysia bukan negara gagal.

Ini kerana walaupun polis digunakan untuk menyiasat dan menangkap pengkritik kerajaan atau pihak yang menyiasat perdana menteri, Malaysia tiada skuad polis rahsia yang digunakan untuk menindas rakyat. Maksud saya “special branch” tiada perkataan “rahsia” pada namanya.

Maka tiadalah polis rahsia ataupun pencabulan hak asasi manusia yang parah di negara ini. Hanya secebis hak yang disekat berdasarkan undang-undang kita yang mengekang. Maka Malaysia belum mencapai tahap negara gagal.

Kita tentunya tidak berhadapan pergerakan besar-besaran pelarian di negara ini kecuali segelintir etnik Rohingya. Tiada juga golongan yang menyimpan rasa kecewa, walaupun ada kelompok yang “bersiar-siar” di Plaza Low Yat sebelum ini.

Kita juga tidak mengalami masalah tekanan demografi, walaupun keadaan golongan miskin bandar yang semakin bertambah dan padat di ibukota.

Tiada juga pelarian warga yang kronik dan berterusan, hanya masalah “brain drain” yang sukar diperbaiki dan warga yang berhijrah kerana merasa tersisih.

Tiada juga masalah pembangunan ekonomi yang tidak sama rata. Yang ada hanya pengagihan kekayaan dan infrastruktur secara tidak sekata dan lompong.

Kita juga tidak berhadapan masalah kemiskinan dan kemerosotan ekonomi yang parah…sekurang-kurangnya belum lagi.

Tiada juga puak elit yang berada tinggi di atas dan memerintah, kita cuma ada Umno sebagai parti pemerintah yang menguasai BN.

Keabsahan mereka yang memerintah negara juga tidak dipersoalkan, hanya keabsahan tentang bagaimana mereka memerintah dan terus kekal berkuasa.

Perkhidmatan awam kita juga tidak merosot sehingga mencapai tahap dibenci dan tidak berfungsi lagi.

Tiada juga campur tangan luar dalam soal dalaman negara, kecuali seorang perdana menteri yang menerima derma daripada kuasa luar yang “berniat baik".

Maka secara logiknya kita semua boleh berfikir dan lihat sendiri. Kita masih belum mencapai tahap negara gagal, bukan?-TheAntDaily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget