KUCHING: Mentaliti Iban yang hanya membenarkan calon yang merupakan penduduk asal bertanding di tempat kelahiran mereka bertanding pada pilihan raya hanya akan menyekat kebolehan sumber manusia daripada kaum itu dimanfaatkan sepenuhnya dalam politik.
Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata perasaan kedaerahan yang sangat kuat itu sebenarnya mengehadkan pemimpin Iban atau Dayak yang bagus bertanding di kawasan lain.
“Sebagai contoh katanya, hanya Iban dari Baleh diterima bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh.
“Perasaan kedaerahan yang sangat kuat itu mengehadkan pemimpin Iban atau Dayak yang bagus bertanding di kawasan lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Warga Emas Produktif Ke Arah Komuniti Sejahtera dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ngiang, Ulu Sungai Majau, Baleh, Kapit, kelmarin.
Program itu dianjurkan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Kapit dan Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) Kapit.
Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh merangkap presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata pengundi lain seperti Melayu atau Cina tidak meletakkan sekatan begitu pada diri mereka.
Oleh itu ujarnya, pergerakan politik berlaku dalam kalangan kaum itu dan kepimpinan mereka dimanfaatkan sepenuhnya.
Tambahnya, mana-mana pemimpin yang bagus serta berkaliber daripada kumpulan ini boleh bertanding di mana-mana kawasan dan menang.
“Lim Kit Siang misalnya, bertanding di Johor, jauh dari negerinya iaitu Pulau Pinang tetapi boleh menang,” ujarnya.
Masing percaya, selagi Dayak enggan mengurangkan perasaan kedaerahan yang kuat, sumber manusia kaum itu dalam politik tidak akan dapat dimanfaatkan.
Sementara itu, katanya Dayak secara umumnya tidak belajar mematuhi keputusan pemimpin sebaliknya cenderung menyoal dan kemudian menentang keputusan pemimpin mereka.
“Dayak cenderung untuk menyoal dan kemudiannya menentang keputusan pemimpin mereka, untuk membuktikan pendapat mereka, menjadi penghalang kepada perpaduan politik Dayak.
“Elemen percaya kepada yang berkuasa belum wujud lagi dalam kalangan Dayak,” katanya.
- Borneo Post Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.