Manusia diberikan akal dan otak untuk berfikir. Haiwan pula walau diberikan otak, ia tidak berakal. Bezanya manusia dengan haiwan ialah akal. Kerana itulah haiwan senang seperti lembu senang dicucuk hidung dan hanya mengikut kehendak tuannya yang memberinya makan rumput setiap hari.
Malangnya di akhir zaman ini, manusia dikatakan semakin hilang akal. Akal yang menghasilkan budaya dan ketamadunan seakan-akan gagal digunakan dengan sempurna. Budaya murni bertukar menjadi budaya mental ‘tak cukup akal’. Hasilnya, terbitlah kedangkalan manusia itu.
Baru-baru ini, seorang busker mengamuk di media sosial mendakwa isterinya dicabul bangla. Akallnya memilih untuk bertindak sendiri, membelasah bangla berkenaan hingga tertiarap. Dimuat naik pula gambar mangsa yang dikatakan bersalah pada isterinya itu.
Paling menjengkelkan, tiba-tiba saja busker itu mengaitkan kejadian itu dengan nama Menteri dan Perdana Menteri. Menteri dan Perdana Menteri dipersalahkan dalam insiden tersebut. Dia menggunakan rasional isu bawa masuk pekerja asing Bangladesh seramai 1.5 juta yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
Soalnya, waraskah akal yang mengunakan rasional tersebut untuk menghalalkan reaksi busker tersebut yang membelasah bangla yang meraba isterinya dan menyalahkan Menteri serta Perdana Menteri atas kejadian tersebut?
Jika dirujuk pada perbuatan meraba, perbuatan itu dilakukan oleh bangla berkenaan, bukan Menteri atau Perdana Menteri yang meraba isterinya. Wajarkah akal menyalahkan mereka yang tidak membuat perbuatan meraba itu?
Perbuatan mengimport masuk bangla itu ke Malaysia adalah perbuatan majikan bangla berkenaan. Penulis yakin, Menteri dan Perdana Menteri yang dihamun busker itu bukan majikan bangla tersebut. Tapi yang dimaki ialah Menteri dan Perdana Menteri. Majikan yang membawa masuk bangla yang tidak bermoral itu tidak ‘disentuh’. Waraskah akal itu?
Mungkin kerana akal busker itu menyimpul dan mengatakan kononnya mengimport masuk bangla berdasarkan polisi kerajaan yang dibuat oleh kementerian yang diketuai oleh Menteri dan kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri.
Itu kaitannya untuk menghalalkan busker itu memaki hamun dan menyalahkan Menteri dan Perdana Menteri? Maksudnya, kerana polisi yang dibuat kerajaan, maka setiap dosa jenayah atau kesalahan itu harus diletakkan di bahu pemerintah?
Sekiranya itulah logik akalnya, maka sudah tentulah Rasulullah SAW akan dipersalahkan juga jika berlaku jenayah dan insiden sumbang di zaman pemerintahan baginda di Madinah dulu. Di zaman Rasulullah, berlaku dosa zina dan sebagainya walaupun ajaran Islam yang baginda sampaikan menegah keras perbuatan tersebut.
Soalnya, apakah wajar dan tergamak akal kita untuk menuding jari pada Rasulullah atas dosa umat Islam yang berlaku di zaman baginda?
Ketika zaman itu, ekoran Madinah menjadi tumpuan pedagang dan umat seluruh dunia, pelbagai kaum wujud dan tinggal di kota Islam berkenaan. Ada yang datang dari Habsyi, Mesir, Iraq dan sebagainya. Polisi Madinah ketika itu adalah terbuka sempadan politiknya dan sesiapa saja diterima masuk dan dibenarkan bermastautin di situ.
Namun, sekiranya berlaku apa-apa kejadian jenayah oleh mana-mana pendatang luar yang menetap dan bekerja di kota itu, apakah kesalahan itu mewajarkan Rasulullah SAW dan para sahabat yang membantu baginda dimaki hamun.
Pada pandangan penulis, adalah tidak wajar untuk menyalahkan sesiapa atas kesalahan yang tidak mereka lakukan. Lainlah jika Menteri dan Perdana Menteri yang meraba isteri busker itu, maka mereka boleh dipersalahkan.
Di negara kita, ada undang-undang yang perlu didaulatkan. Kita pula selaku umat Islam, ada akhlak dan hukum hakam yang perlu dipatuhi seumur hidup. Jika tidak mahu ikut undang-undang negara, tidak mahu taat pada hukum-hakam Islam, apakah yang layak bagi kita? Layak untuk menjadi seorang warganegara dan seorang yang mengaku Islam?
Namun itulah realitinya. Budaya dan mentaliti yang tidak wajarlah kini menjadi amalan sesetengah rakyat Malaysia terutama di ruang maya sosial. Kononnya ‘viral’, tapi tidak sedar ia mendedahkan keaiban diri sendiri dan isteri di khalayak ramai. Itukah yang kita bangga-banggakan?
Penulis melihat, ramai yang anak dan isterinya menjadi mangsa rogol dan jenayah, namun mereka tidak menyalahkan Menteri atau Perdana Menteri. Ada yang dicabul oleh warga tempatan, tidak pula dimaki hamun Menteri atau Perdana Menteri.
Jadi, fikir-fikirkanlah diri kita masing-masing. Budaya apakah yang kita ikut? Apakah akal dan otak kita mengikut kewarasan wajar dan ajaran Islam? Apakah kita patuh pada undang-undang dan hukum Islam? Dan kita asyik hendak menyalahkan pihak lain? Akal letak di mana? Di kepala lutut?
- MyKMU.NET
Post a Comment