Seruan damai Najib umpama 'masuk bakul, angkat sendiri'


Seperti ada kekeliruan yang ketara dalam diri Najib Razak ketika ucapan perasmian dan penggulungan Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam.

Jika dalam ucapan perasmian, Najib mengatakan dirinya seorang yang "gentleman" dan bukan pengecut, tetapi ketika penggulungan beliau membanggakan dirinya seorang yang berjiwa besar semata-mata kerana kepada perdamaian.

Ketika mendabik dada meletakkan dirinya sebagai seorang yang "gentleman" dan bukan pengecut, ramai yang tidak lupa bagaimana Muhyiddin Yassin tidak dibenarkan merasmikan mesyuarat sayap-sayap dan seterusnya beliau bersama Shafie Apdal turut dihalang berucap di majlis penggulungan perhimpunan tahun ini.

Sebelum itu, semua peranan Muhyiddin selaku Timbalan Presiden Umno dalam pelbagai jawatankuasa di peringkat tertinggi parti juga turut dinafikan.

Kalau betul "gentleman" dan tidak pengecut, kenapa larangan sebegitu rupa yang tidak pernah berlaku sebelum ini sanggup dilakukannya?

Lebih dari itu, ketika ucapan perasmian di mana beliau menyedari Muhyiddin tiada ruang untuk mempertahankan dirinya, "gentlemankah" bertindak menyerang musuh yang diikat kaki dan disumbat mulutnya?

Diselak lebih jauh lagi ke belakang sebelum ini, apakah boleh dikira "gentleman" dan bukan pengecut dalam tindakan Najib terhadap Peguam Negara, PAC serta gangguan kepada SPRM dan Bank Negara?

Dalam ucapan penggulungan pula, Najib sekali lagi, tidak saja keliru, malah seorang yang suka "masuk bakul angkat sendiri" apabila mengatakan dirinya seorang yang berjiwa besar hanya kerana mengajak kepada perdamaian.

Kenapa perlu "masuk bakul angkat sendiri" dan memuji diri sebagai berjiwa besar apabila mengajak orang lain berdamai sedangkan hampir semua masalah dalam Umno adalah berpunca daripada dirinya juga?

Bolehkah dikata berjiwa besar apabila membelasah orang yang disekatnya daripada bercakap, tetapi kemudian menghulurkan salam perdamaian?

Berjiwa besar dan mahu berdamaikah Najib apabila sehari sebelum ucapan penggulungannya, Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan penggantungan 9 Ketua Umno Cawangan Teluk Kemang yang berani bersuara mahukannya berundur sebagai Perdana Menteri?

Dalam hal ini, barangkali Salleh Said Keruak kena lebih memahami erti sebenar "masuk bakal angkat sendiri" yang diperkatakannya bahawa Najib tidak pernah mengamalkan sikap tersebut.

Dalam banyak hal, Najib ternyata cuba menunjukkan dirinya seorang yang berjiwa besar dan bersikap "masuk bakul angkat sendiri" dengan harapan supaya sikapnya lebih ditonjolkan, walhal semua orang yang waras dapat melihat pertentangan daripada apa yang dilakukannya.

Selain itu, dengan mengajak berdamai juga dilihat sebagai percubaan Najib menukar masalah dalam UMNO kepada seolah-olah perseteruan peribadi antaranya dengan Muhyiddin dan Shafie Apdal sedangkan kemelut hanya timbul berkaitan isu 1MDB dan derma politik yang pada hakikatnya jauh sama-sekali daripada segala unsur keperibadian.

Apakah dengan ajakan berdamai itu bermaksud Najib mahu segala isu berkaitan 1MDB dan derma politik yang diterimanya tidak lagi diperkatakan, diungkit-ungkit dan akhirnya dihalalkan begitu saja?

Adakah dengan mengajak berdamai ini semua pertuduhan yang cuba dikenakan keatas Muhyiddin yang kini dalam pertimbangan Lembaga Disiplin akan diteruskan atau bakal digugurkan?

Muhyiddin dan Shafie mungkin tidak lagi mengharapkan sebarang jawatan dalam kerajaan, tetapi apakah dengan perdamaian itu semua peranan dan tugas mereka dalam parti akan dikembalikan semula?

Sepertimana ulasan Muhyiddin bahawa beliau ingin melihat apa tindakan Najib menyelesaikan semua isu yang dibangkitkannya terlebih dahulu, hakikat perdamaian bukan sekadar bercakap dan terletak di bibir semata-mata.

Isu 1MDB bukan sekadar rasionalisasi hutang, tetapi juga meliputi pelbagai urusniaga, perjanjian dan caca marba lainnya yang masih misteri sehingga hutangnya mencecah RM42 bilion dalam tempoh hanya enam tahun ditubuhkan.

Begitu dengan derma RM2,600 juta, banyak kekeliruan perlu dijelaskan dengan jujur, ikhlas dan berterus-terang. Bagaimana rakyat mahu yakin dan percaya sedangkan untuk menjawab sama ada wang itu diberikan oleh seorang penderma atau banyak penderma pun berbelit-belit jadinya?

Bersalam, berdamai atau berpeluk bukanlah isunya dalam Umno mahupun kerajaan. Ini kerana masalah yang berlaku bukan isu antara Najib dengan Muhyiddin dan Shafie Apdal saja. Juga bukan antara Najib dengan Tun Mahathir.

Isunya sudah menjadi isu negara. Keinginan berdamai oleh Najib seharusnya berlaku selepas semua persoalan dan tanda tanya rakyat dapat dijawab, bukannya setelah melihat jalan di hadapannya semakin gelap. -Harakah Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget