Kehadiran Hadi bawa mesej Islam yang jelas


SHAH ALAM - Kehadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, semalam membawa mesej Islam yang sangat jelas.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, agenda yang dilakar oleh Abdul Hadi itu akan digarap oleh seluruh ahli dan kepimpinan Pas untuk di bawa ke tengah-tengah masyarakat berasaskan prinsip Islam.

"Kehadiran Presiden bawa (empat) mesej Islam yang sangat jelas bahawa Islam sebagai asas perpaduan ummah dan Islam sebagai asas pembinaan tamadun bangsa dan negara.

"Selain itu, menolak campur tangan asing yang mempromosi pertembungan dan peperangan antara Muslim serta pemimpin negara perlu bersedia dikritik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berkongsi satu pentas, Abdul Hadi dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi tumpuan malah ada pihak yang didakwa kurang senang dengan 'pertemuan' itu.

Menurut Mohd Khairuddin, topik paling hangat dibicarakan sejak petang semalam ialah perpaduan ummah dan masa depan hubungan dua parti terbesar Melayu Islam, antara Umno dengan Pas.

"...ekoran kehadiran Presiden Pas dan beberapa pimpinan termasuk Ketua Dewan Ulama Pas Pusat sepentas dengan Presiden Umno. Pelbagai versi tafsiran terpapar di media hari ini.

"Di sinilah Pas selaku parti politik dan dakwah mengambil peranan besar memandu dan membimbing media serta umat untuk menggarap satu pendekatan perpaduan ummah yang holistik dan politik Islam yang matang berasaskan prinsip dan dakwah Islam," katanya.

Tambahnya, kerjasama atas dasar kebajikan dan takwa, bukan atas dasar menegakkan permusuhan dan kezaliman adalah prisip asas Islam sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Maidah ayat 2.

"Ruang kerjasama dan perpaduan ummah tersangat luas untuk dirintis dan digarap. Ia boleh berlangsung dengan pelbagai bentuk tanpa memerlukan gabungan entiti politik.

"Pas akan terus berperanan memastikan semak dan imbang terus berlangsung dalam politik negara. Itulah penegasan Pas sehingga kini," katanya.

- Sinar Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget