Halang Nurul bukti BN kurang bersedia


Nurul Izzah ditahan Imigresen Malaysia sebaik tiba di LTAK kira-kira jam 4 petang semalam

KUCHING: Tindakan Kerajaan Negeri Sarawak menghalang pemimpin parti pembangkang masuk ke negeri ini menunjukkan mereka kurang yakin dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr A. Xavier Jayakumar.

Beliau berkata ini berikutan tindakan kerajaan menghalang ‘Puteri Reformasi’ atau Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar daripada memasuki Sarawak semalam.

Menurut Xavier, Nurul Izzah ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kira-kira jam 4 petang.

“Beliau (Nurul) tidak dapat datang sebab dihalang imigresen negeri atas arahan pejabat Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui di luar Balai Ketibaan LTAK di sini semalam.

Xavier kecewa dengan tindakan tersebut dan menganggapnya tidak adil kerana pemimpin penting parti dihalang masuk untuk bertemu dengan rakan pemimpin lain.

“Ternyata ia sesuatu yang tidak baik untuk negeri malah sistem demokrasi kita gagal kerana pemimpin parti dihalang masuk ke negeri ini tanpa sebab kukuh.

“Tahanlah dia kalau benar-benar bersalah. Bukan dengan cara sebegini untuk dijadikan alasan untuk menghalang pemimpin walaupun masuk secara sah,” jelasnya.

Nurul Izzah dijadual menghadiri majlis makan malam bersama PKR Sarawak selain akan mengumumkan calon akan bertanding pada pilihan raya nanti.

“Bagaimanapun perjumpaan dengan pemimpin PKR Sarawak tetap dijalankan meskipun tanpa kehadiran beliau,” kata Xavier yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas.

Sementara itu, ADUN PKR Batu Lintang See Chee Haw turut kecewa dengan sikap Ketua Menteri yang dianggapnya sebagai pemimpin liberal.

“Ternyata beliau (Adenan) masih mengamalkan budaya pentadbiran lama dan tiada bezanya dengan sekarang,” ujarnya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget