Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Sarawak merangkap YDP PAS Bintulu Ir Mohd Azwani Abdul Rani merakamkan tahniah atas pembentangan Bajet 2016 Negeri Sarawak oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Adenan Satem,Ketua Menteri Sarawak baru baru ini.
Dengan pembentangan sidang DUN kali ini adalah yang dianggap paling akhir sebelum Pilihanraya Negeri yang dijangka Mac 2016, penambahan belanjawan untuk pembangunan rakyat Sarawak,khasnya luarbandar terus meningkat tidaklah mengejutkan.
Tan Sri Adenan berkata kerajaan menyediakan peruntukan yang lebih besar berjumlah RM2.65 bilion, bagi pembangunan luar bandar, lebih tinggi berbanding RM2.35 bilion yang diperuntukkan pada tahun lepas dan RM2.19 bilion pada 2014.
Mengenai prospek pendapatan 2016 hasil negeri, Adenan berkata dianggarkan sekitar RM5.55 bilion, dengan RM544 juta adalah daripada royalti hutan dan premium. Secara ringkasnya, Kerajaan Sarawak memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM5.97 bilion iaitu kira-kira 74 peratus daripada Bajet 2016 negeri itu bagi menampung perbelanjaan pengurusan.
Ketua Menteri menambah Bajet Sarawak 2016 adalah berasaskan pembangunan luar bandar dalam usaha untuk mencapai kemajuan yang lebih besar serta seimbang di negeri ini. Usaha ini harus diberi pujian sekiranya matlamat mencapai sasaran.
Beberapa langkah berani Adenan Satem, seperti Sarawak bebas tol, pandangan berbeza dengan kerajaan pusat haruslah diberi pujian kerana berani mengubah sesuatu untuk kebaikan rakyat.
Azwani secara peribadi mengatakan bahawa, ini adalah Ketua Menteri yang lebih bijak dan berani dibandingkan dengan seorang Perdana Menteri Malaysia terkini.
Seorang pemimpin yang memberi 2.6 Bilion untuk pembangunan luar bandar Sarawak, manakala seorang pemimpin lagi menerima "derma" 2.6 Bilion, tapi tidak diketahui kemana hasilnya pada rakyat.
Pandangan PAS Sarawak terhadap BN Sarawak timbang semula kesetiaan jika Najib bersalah dalam skandal 1MDB
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Barisan Nasional (BN) Sarawak akan menimbang semula kesetiaan mereka kepada Datuk Seri Najib Razak jika beliau didapati bersalah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Adenan juga berkata, Najib setakat ini tidak pernah didapati bersalah dalam semua tuduhan berkaitan 1MDB yang dilemparkan terhadapnya.
Beliau berkata demikian kepada wakil rakyat pembangkang yang menyamakan sokongannya kepada perdana menteri dengan perbuatan menyokong dasar perkauman dan agama Umno serta dakwaan peranan yang dimainkan Najib dalam syarikat sarat hutang itu, termasuk persoalan "derma" RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Walaupun Adenan cuba hendak mengelak diri dari terbabit dengan isu "derma" RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib, beliau sepatutnya mengambil peluang untuk menuntut lebih banyak lagi hak dan peruntukan untuk pembangunan di Sarawak seperti tuntutan royalti dan juga tidak menyokong Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015 lalu.
Rang Undang-undang MKN tersebut antara lain mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan, maka ia bukan sahaja mempersoalkan kuasa Agong tapi ia lebih daripada mempersoalkan kuasa dan budi bicara baginda iaitu merampas sama sekali kuasa ketua negara itu.
Kalau ianya dikuatkuasa maka kuasa autonomi Sarawak juga boleh terjejas dan segala kepentingan Sarawak boleh diambil alih kuasa oleh kerajaan persekutuan.
Perkara ini perlu diambil pertimbangan oleh Ketua Menteri Sarawak sebelum memberi sebarang sokongan kepada Najib sebagai ketua Barisan Nasional di peringkat pusat.
Inilah masa yang paling sesuai sebagai seorang Ketua Menteri Sarawak berani bersuara untuk mempertahankan hak rakyat Sarawak dari dicabul oleh mereka yang ada kepentingan dan juga menyalahgunakan kuasa.
Jofri Jaraiee
PAS Sarawak
-PAS.ORG.MY
Post a Comment