KM mungkin buat keputusan jika mereka gagal capai perjanjian secara baik sehingga 1 Dis depan
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mungkin perlu membuat keputusan sendiri terhadap Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) jika mereka gagal mencapai perjanjian secara baik sehingga 1 Disember depan.
Sehingga hari ini, masih tiada jawapan daripada SUPP terutama Presidennya Senator Datuk Dr Sim Kui Hian walaupun Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh telah mempelawanya untuk berbincang mengenai penubuhan jawatankuasa antara kedua-dua parti itu berhubung peruntukan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri akan datang.
Timbalan Presiden UPP Datuk Dr Jerip Susil semalam mengesahkan bahawa pihaknya belum lagi menerima maklum balas daripada SUPP.
“Kami telah menubuhkan jawatankuasa dan presiden kami (Wong) sudah menulis surat kepada presiden SUPP untuk mencapai kesepakatan seperti yang dihasratkan Ketua Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri nanti.
“Bagaimanapun, masih tiada maklum balas daripada SUPP setakat ini,” katanya ketika ditemu bual selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kanak-Kanak Tabika/ Taska KEMAS N.16 Bengoh dan Parlimen Mambong di sini, semalam.
Menurut Dr Jerip, tujuan Adenan mahukan SUPP dan UPP bekerjasama adalah untuk melihat masyarakat Cina di negeri ini bersatu.
Bagaimanapun, katanya SUPP difahamkan telah membuat pendirian semasa persidangan delegasi tahunannya baru-baru ini bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan 19 kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.
“Ini akhirnya akan meletakkan Ketua Menteri untuk membuat keputusan dan kami menyerahkan kepada kebijaksanaan beliau bagi menentukan apa yang perlu dilakukan seterusnya,” katanya.
UPP dan SUPP telah diberi kata dua oleh Adenan untuk menyelesaikan perselisihan mereka dalam tempoh sebulan semasa mesyuarat tertutup pada 19 Oktober lepas.
- Borneo Post Online
Post a Comment