Tak hentak meja, beri pandangan berhemah, kenapa gugurkan saya, soal Muhyiddin


Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan tindakan Datuk Seri Najib Razak menggugurkannya sebagai timbalan perdana menteri kerana segala teguran yang diberikan kepada perdana menteri dilakukan secara berhemah.
Timbalan presiden Umno itu berkata ciri-ciri yang dimahukan Najib ada padanya namun kerana terlalu banyak mempersoalkan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau digugurkan.

"Kalau sesiapa pun boleh mengemukakan pandangan, berentap meja pun boleh. Cuba tanya presiden parti, pernah tidak saya berentap meja di hadapan beliau. Saya ini kan berhemah, gaya pun macam bodoh je.

"Mana ada hentak meja, mengangkat suara pun tidak ada. Beri pandangan secara berhemah. Salah? Habis kenapa gugurkan saya?

"Tidak apa prerogatif perdana menteri. Dia tidak suka tidak apa. Kita hormat," katanya sewaktu berucap merasmikan mesyuarat pemuda Umno Petaling Jaya Utara petang ini.

Muhyiddin berkata sepanjang berada dalam Umno dan kerajaan, sudah menjadi tradisinya mempersoalkan kepincangan yang berlaku maka tidak perlu mana-mana pihak memberi amaran kepadanya agar berhati-hati.

Katanya, selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri, tiada apa lagi yang tinggal kepadanya melainkan suara untuk terus menegakkan kebenaran.

“Saya kira selama tempoh lebih 40 tahun dalam parti dan 37 tahun dalam kerajaan itu sudah pun saya lakukan. Kenapa selepas itu nak beritahu ‘be careful’? Apa yang tak kena dengan saya? Saya masih orang yang sama.

“Saya akan terus bersuara. Apa yang ada pada saya? Hanya suara saja. Tidak lunak untuk menyanyi tetapi bisa menyampaikan cita-cita hati saya.

“Saya sebutkan kepada presiden tempoh saya bersama beliau menjadi timbalan perdana menteri. Saya melaksanakan segala-galanya. Ada saudara dengar saya mengkritik, menghentam pemimpin, menolak dasar yang diputuskan dalam Kabinet?” soalnya.

Bekas menteri pendidikan itu berkata tiada isu lain menyebabkannya dipecat Najib melainkan isu 1MDB yang sering dibangkitkan dalam platform kerajaan dan parti.

Katanya, tidak wajar pihak tertentu mendakwanya berkomplot dengan pembangkang untuk menjatuhkan Najib kerana dakwaan itu sudah pun dinafikan pihak yang berkenaan.

“Hanya satu daripada ribuan masalah iaitu berkenaan 1MDB.

“Saya hendak jelaskan soal ini kerana ada yang kata ini bukan soal 1MDB. Mungkin soal lain. Tak ada soal lain. Komplot tidak ada.

“Tanyalah siapa yang banyak cakap. Agaknya pasal banyak cakaplah kot. Tidak habis-habis dia saja. Setiap minggu baik soal baru atau perkara berbangkit, hal seperti itu dikemukakan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Najib yang tidak pernah mempersoalkan dana parti sewaktu menjadi timbalan presiden Umno, Muhyiddin berkata laporan The Wall Street Journal (WSJ) menyebabkannya berbuat demikian.

Katanya, tugas sebagai orang kanan Najib seharusnya menjadikannya orang utama mengetahui apa yang berlaku sebenarnya kepada ketuanya itu.

“Presiden boleh sahkan juga sepanjang saya jadi timbalan, pernah tak saya bertanya tentang soal duit? Tidak pernah. Hanya apabila WSJ keluar dengan berita itu.

“Sehingga keluar berita itu, dia panggil saya dan beritahu. Bila dia beritahu tentulah saya tanya berapa banyak, siapa bagi? Tidak boleh? Sebagai timbalan presiden takkan tidak diberitahu atau tak nak tahu langsung?” soalnya.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget