Selesaikan Masalah negara dengan Pendekatan Islam
Saya membaca perihal seorang ibu yang didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh dan mengerat 18 bayi nya. Tidak semena-mena saya rasakan isu PM dan 1MDB itu kecil. RM2.6 billion tidak mampu membawa bayi itu hidup kembali.
Jika seorang ibu boleh membunuh bayi nya yang tidak berdosa, tidak pelik kalau ada manusia boleh menyeleweng dan menipu. Kita hari ini hidup jauh dari sistem kehidupan terbaik iaitu sistem yang berpandukan tatacara digariskan agama.
Islam datang menyelesaikan masalah manusia secara menyeluruh dan berkesan. Sistem Islam terbukti berjaya membawa keluar masyarakat arab jahiliyiah hingga mereka berjaya membina empayar-empayar besar yang sebahagiannya masih ada hingga hari ini.
Bayangkan dahulu wujud penghambaan tradisi (kerana ayah/ibu hamba,anak juga hamba), anak-anak perempuan dibunuh hanya kerana maruah ayah, wanita dihina,dijadikan objek penghibur,kemiskinan yg dasyat, semuanya terhapus bilamana Islam datang.
Maka, bagaimana mungkin masalah PM, 1MDB tidak boleh selesai dengan Islam?
Islam meletakkan ketelusan dan keadilan sebagai perkara terpenting dalam sistem pentadbiran dan kehakiman sebagaimana firman Allah s.w.t.
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. ( surah an-nisa, 58)
Apa sahaja dakwaan perlu disiasat dengan adil tanpa tekanan baik daripada tertuduh ataupun penuduh. Tertuduh tidak bersalah selagimana belum terbukti bersalah. Ini terpakai bagi mana-mana pihak baik pembangkang mahupun kerajaan.
Oleh sebab PM merupakan individu tertinggi negara, beliau punya pelbagai capaian dan jabatan-jabatan kerajaan menjadi tidak bebas untuk menyiasat. Disinilah pentingnya kita kembali kepada panduan Islam. Jawatan sebagai pemimpin merupakan amanah untuk berkhidmat dan perlu dijaga. Ia bukan suatu kemudahan dan tidak kekal.
Sebagai pemimpin yang berintegriti, PM perlu akur kepada saranan awam supaya beliau bercuti untuk sementara waktu. Seharusnya, beliau tidak perlu bimbang kerana barisan kabinet sedia ada dan ketua-ketua jabatan semuanya jujur, amanah, berintegriti sepertimana yang beliau selalu ucapkan.
Sekiranya beliau memilih untuk bercuti, sedikit sebanyak imej beliau dan barisan kabinetnya menjadi lebih baik setelah terpalit dengan isu pemecatan Peguam Negara dan perlantikan 4 ahli jawatankuasa PAC dalam kabinet.
Usul undi tidak percaya yang dicadangkan oleh sesetengah pihak seharusnya menjadi pilihan terakhir. Jika pun ia dilaksanakan, ia tidak bermakna hukuman bersalah. Tujuannya ialah bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan adil tanpa tekanan.
Penukaran PM jikapun berlaku sebenarnya tidak membawa apa-apa erti kerana negara akan masih diperintah oleh parti yang sama. Adakah mana-mana pemimpin yang benar-benar bersih?
Kali terakhir kita dengar ialah Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang diiktiraf kawan dan lawan sebagai pemimpin bersih dan amanah. Dan beliau istiqamah dalam parti PAS, bukannya parti pemerintah.
Ingatlah firman Allah s.w.t
Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya. ( Surah Al-Anfaal, 25)
Justeru itu, perubahan parti pemerintah perlu dilakukan mengikut lunas-lunas demokrasi iaitu pilihanraya umum dan negeri. Amanah kita kepada generasi akan datang, untuk memilih pemimpin yang jujur, telus dan mampu memimpin umat kearah kesejahteraan berdasarkan panduan agama Islam.
Fiderus Hussaini
Ketua Pemuda PAS Kawasan Bintulu
-SarawakLIVE

Post a Comment