Perdana menteri langgar undang-undang anti rasuah terima ‘derma’, kata Ambiga


Semakin ramai yang mengatakan Umno melanggar undang-undang anti rasuah apabila menggelarkan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai sumbangan derma, kali ini ia disuarakan peguam terkemuka Datuk Ambiga Sreenevasan.

Bekas pengerusi Majlis Peguam itu berkata, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, takrif suapan dalam Seksyen 50 termasuk derma.

Seksyen ini menyatakan, sebarang bentuk suapan dianggap diterima sebagai rasuah, melainkan jika dibuktikan sebaliknya, katanya.

Ini bermakna, bebannya terletak kepada penerima wang itu untuk menyangkal sebarang unsur rasuah.

"Mereka memburukkan lagi keadaan untuk diri mereka sendiri apabila menggunakan istilah derma. Ini memang betul 'red flag' (amaran bahaya)," kata Ambiga pada satu forum bertajuk ‘Malaysia: Ke mana kita pergi dari sini’ di Kuala Lumpur malam tadi.

SPRM mengisytiharkan wang RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun Najib adalah sumbangan derma dan bukannya wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ia juga mengesahkan pendermanya ialah dari Timur Tengah tetapi tidak menamakan sumber itu. Bagaimanapun, agensi itu semalam berkata, ia akan meminta Najib untuk memberikan penjelasan mengenai sumbangan itu.

Semalam Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, Najib perlu disiasat SPRM kerana menerima sumbangan itu.

Rafizi menyebut Seksyen 3 Akta SPRM yang menyatakan, seorang pegawai awam tidak dibenarkan menerima suapan dalam apa jua bentuk.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget