Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (gambar, kanan) melanggar kelaziman hari ini apabila bercakap dalam bahasa “rojak” campuran Inggeris dan Melayu sewaktu berucap pada majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ahli Parlimen Tambun itu berbuat demikian sewaktu menceritakan pengalamannya membesar di Ipoh dan dibantu rakan bukan Melayu dalam mata pelajaran Matematik.
"Matematik saya, among the worst in the class (antara yang paling teruk dalam kelas).
"Similarly my son, anak saya, Form 1 to Form 5, was always the last in the class (begitu juga anak saya, dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, selalu yang terakhir dalam kelas)," katanya sewaktu berucap pada Festival Bahasa dan Sastera 2015, di Auditorium DBP, petang ini.
Beliau menggunakan gaya bahasa demikian di hujung ucapannya dan sekali lagi berbuat demikian sewaktu menasihati hadirin yang sebahagiannya terdiri daripada murid sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, agar menjalinkan hubungan baik antara sesama kaum.
"So that means, kita boleh belajar – orang Cina belajar daripada orang Melayu. Orang Melayu boleh belajar daripada orang Cina dan India.
"That means you can be a good person (itu bermakna anda boleh jadi orang yang baik)," katanya.
Bagaimanapun, hadirin di dalam auditorium tidak menunjukkan sebarang reaksi kepada gaya ucapan sedemikian.
Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan, sewaktu ditanya tentang insiden itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang pesanan khusus buat Husni.
"Kita menghormati beliau sebagai tetamu kehormat kita. Saya fikir kita ada cara dapat berhubung dengan pihak pemerintah melalui forum-forum tertentu," katanya.
Namun, secara umumnya tanpa merujuk kepada Husni, Awang mempunyai mesej berikut:
"Secara umum, kita mengharapkan pemimpin negara meletakkan bahasa kebangsaan sebagai satu tunggak penting.
"Kita sebagai negara maju pada 2020 harus jangan lupa untuk memajukan bahasa kebangsaan," katanya.
Beliau juga yakin kerajaan akan mengutamakan bahasa kebangsaan dalam acara peringkat antarabangsa dan menyediakan penterjemah buat mereka yang tidak memahami bahasa Melayu.
"Kita yakin kita akan dapat meyakinkan pemerintah supaya kita ada satu dasar di mana majlis rasmi peringkat negara dilakukan dalam bahasa kebangsaan.
"Kemudian, bahasa asing sesudah itu," katanya.
DBP ditubuhkan pada 1956 sebagai satu jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran.
Ia kemudian dinaiktaraf menjadi badan berkanun pada 1959 menerusi Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 dan mempunyai autonomi menggubal dasar bahasa dan menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu. –The Malaysian Insider

Post a Comment