Kesabaran dihargai


KUCHING: Kerajaan amat berterima kasih atas kesabaran dan kesudian para pemilik tanah di kampung-kampung Melayu menunggu lama untuk memiliki surat hak milik tanah mereka.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata pemberian surat hak milik tanah sah dilakukan secara berperingkat-peringkat dan mengambil sedikit masa untuk dilaksana di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikenal pasti serta layak.

Beliau berkata sebagai permulaan surat hak milik itu diberikan kepada kampung-kampung Melayu di dua kawasan DUN iaitu Samariang dan Tupong.

Katanya, usaha memberikan surat hak milik tanah yang sah kepada kampung-kampung Melayu di dua kawasan DUN berkenaan sudah pun bermula sejak 2011 melibatkan beberapa kampung dan hanya menjadi kenyataan tahun ini.

“Terima kasih kepada anda semua kerana sudi menunggu lama untuk mendapatkan geran yang sah.

“Kerajaan telah bercadang memberikannya sejak dahulu lagi tetapi anda semua sabar menunggu dan akhirnya dapat jua.

“Minta maaflah sekiranya kerajaan lambat (memberikannya)… bukan anda semua sahaja akan mendapat surat hak milik tanah ini, ada kampung lain juga dalam perancangan saya akan diberi status hak milik ini terutama di (DUN) Samariang dan Tupong,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan DUN Samariang dan Tupong di bangunan DUN lama di sini, semalam.

Adenan turut memberi jaminan akan melaksanakan perancangannya itu sekiranya beliau diberi peluang untuk mentadbir negeri ini sebagai Ketua Menteri bagi tempoh yang lebih lama, sekurang-kurangnya lima tahun lagi.

“Saya sebagai Ketua Menteri negeri Sarawak bertanggungjawab ke atas seluruh negeri dan bukan kawasan Tanjung Datu sahaja.

“Ingin saya katakan di sini, apakah langkah-langkah positif menguntungkan rakyat yang telah diambil sejak setahun lebih atau kira-kira 15 bulan sebagai Ketua Menteri. Dalam masa singkat kita mencapai banyak kejayaan untuk manfaat rakyat,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihati para penerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri agar tidak menjual tanah yang dianugerahkan kepada mereka, sebaliknya dijaga sebaik mungkin untuk kegunaan generasi seterusnya.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan-kejayaan besar dicapai sepanjang kira-kira 15 bulan beliau menjadi Ketua Menteri, Adenan berkata antaranya ialah penurunan kadar elektrik, pembanterasan pembalakan haram, penghapusan tol di Jambatan Lanang dan Jambatan ASEAN serta mendapatkan kontrak bernilai RM2.1 bilion daripada Petronas untuk diagihkan kepada syarikat tempatan terlibat dalam sektor minyak dan gas.

Manakala, usaha untuk mendapatkan bayaran royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus daripada Petronas masih di peringkat rundingan dan ia akan diteruskan sehingga berjaya.

Sementara itu, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Ramzi Abdillah dalam ucapan aluannya memberitahu, setakat semalam sebanyak 25,876 surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi tujuan kediaman di seluruh Kuching telah dikeluarkan.

“Pada hari ini (semalam) 666 surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dikeluarkan iaitu 96 lot untuk Kampung Pinang Jawa di DUN Tupong dan 570 lot lagi bagi lima kampung di DUN Samariang.

“Lima kampung itu ialah Kampung Semariang Tanah Merah (80 lot), Kampung Semariang Wawasan Jaya (134 lot), Kampung Semariang Pinggir (73 lot), Kampung Semariang Batu (137 lot) dan Kampung Semariang Batu Fasa II (146 lot),” katanya.

Menurut Ramzi, lima keistimewaan surat hak milik tanah Seksyen 18 Tanah Negeri ialah tiada premium dikenakan, tiada cukai tanah tahunan, tiada kos pengukuran, tidak dikenakan kos penyediaan surat hak milik tanah dan tempoh pegangan selama-lamanya.

Beliau menambah, pemberian surat hak milik itu antara usaha kerajaan mengatasi masalah tanah di kampung-kampung Melayu melalui proses pengembangan kampung disebabkan pertambahan jumlah penduduk serta keluarga.

Pada majlis sama Adenan turut menyerahkan tujuh lesen pendudukan sementara (TOL) di Skim Penempatan Semula Rampangi Fasa II bagi penduduk yang terlibat dengan projek Jambatan Sungai Sinjan Besar/Jalan Kampung Lintang/Tupong.

Hadir sama Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Mohd Naroden Majais dan ADUN Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget