Adenan ulangi pendirian BN takkan terima Bebas

Jangan terperdaya tipu muslihat calon Bebas guna nama BN untuk memancing undi menjelang 7 Mei
BAU: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam mengulangi pendirian tidak akan menerima masuk calon Bebas dalam BN meskipun menang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengundi amnya di kawasan Serembu supaya tidak terperdaya dengan tipu muslihat calon Bebas yang menggunakan nama BN untuk memancing undi mereka pada 7 Mei ini.

“Dari mula-mula lagi saya mahu segalanya jelas, tolong dengar apa yang saya katakan dan jangan tertipu dengan Peter Nyomek (calon Bebas Serembu).

“Saya adalah pemimpin nombor satu BN di Sarawak dan mahu membuat pendedahan bahawa Peter Nyomek adalah seorang ‘pembulak’ (pembohong),” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Bijuray, Krokong dekat sini semalam.

Jelasnya, Peter Nyomek memberitahu rakyat bahawa beliau adalah BN dan meminta rakyat supaya tidak bimbang kerana menang atau kalah beliau akan menyertai BN.

Tambah Adenan juga Pengerusi BN Negeri, sebelum ini BN memang menerima calon Bebas yang menang dalam pilihan raya dalam BN tetapi tidak di bawah kepimpinan beliau kini.

“Jadi jika ada pengikut Peter Nyomek di sini buka telinga anda jelas-jelas dan sampaikan mesej kepada Peter Nyomek bahawa beliau adalah ‘pembulak.’

“Hanya ada seorang calon BN di Serembu dan beliau ada di sini bersama saya,” kata Adenan sebagai merujuk kepada calon langsung BN Miro Simuh.

Serembu merupakan salah satu daripada 11 kerusi baharu yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadikan keseluruhan 82 kerusi berbanding 71 sebelum ini.

Pada majlis itu semalam, Adenan turut meluluskan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi menaik taraf Dewan Kampung Bijuray seperti yang dimohon oleh Ketua Kaum (KK) Ripay.

Cek tersebut katanya, boleh dituntut oleh pihak yang berkenaan selepas selesainya proses pilihan raya negeri ini dari pejabat beliau.

Sebelum ini, Adenan ketika kunjungan ke Kampung Skio bagi program yang sama juga telah meluluskan peruntukan dengan jumlah yang sama bagi menaik taraf dewan kampung tersebut.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri James Dawos Mamit serta yang lain.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget