Muhyiddin sudah lama dipecat jika di zaman Dr Mahathir, kata Annuar Musa


Tan Sri Annuar Musa menyifatkan krisis politik yang berlaku di Kedah tidak menjejaskan imej Umno meskipun kesan skandal derma RM2.6 bilion sebelum ini masih membayangi mereka.

Ketua penerangan Umno itu berkata, penyingkiran pemimpin dalam parti adalah sesuatu yang biasa dan pernah dilalui parti Melayu itu.

Katanya, di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, individu seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin akan lebih cepat disingkirkan.

"Sebagai orang lama, bagi saya ia adalah keadaan yang kita pernah lalui, malah kalau dibandingkan dengan zaman Tun Dr Mahathir, saya berpendapat pemimpin seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah lama dikenakan tindakan.

"Tun Mahathir lebih tiada toleransi, kalau sesiapa dilihat sebagai menentangnya, beliau tidak akan teragak-agak ambil tindakan," kata Annuar dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia hari ini.

Katanya, beliau masih ingat apa yang dikatakan Dr Mahathir kepada Datuk Haron Idris dan Tunku Abdul Rahman apabila menentang kepimpinannya.

Annuar bagaimanapun tidak mendedahkan kata-kata Dr Mahathir dalam wawancara disiarkan edisi Ahad Utusan Malaysia itu.

Beliau berkata, apa yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah tepat kerana perlu menjadi pemimpin yang tegas dan kuat.

"Apa yang saya bimbangkan jika perdana menteri tidak ambil tindakan ke atas timbalannya kerana takutkan bekas perdana menteri, ini akan menjadikan beliau pemimpin tidak kuat.

"Cuba fikirkan bagaimana Tun M begitu kuat ketika dia memimpin, ini kerana beliau mempunyai ketegasan dan keberanian," katanya kepada akhbar milik Umno itu.

Anuar turut membangkitkan Dr Mahathir tetap menjadi presiden Umno meskipun tidak punyai sokongan penuh.

"Sesiapa sahaja yang menentang akan dikenakan tindakan malah Tun Mahathir terus bertahan walaupun separuh ahli Umno tidak menyokong beliau apabila hanya menang dengan majoriti 43 undi dalam pemilihan parti 1987.

"Itulah caranya, presiden Umno yang juga perdana menteri mesti tegas," katanya.

Pada masa sama beliau menegaskan penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah bukanlah kerana tidak sehaluan dengan Najib semata-mata.

Katanya, kerajaan tidak punyai masalah jika dikritik dan ditegur.

"Itu tidak betul, semua orang kritik kerajaan. Semua pemimpin Umno dalam mesyuarat akan mengkritik dan menegur presiden.

"Saya juga berbuat demikian termasuklah apabila tidak menyokong tindakan untuk menggantikan Pak Lah sebagai perdana menteri," katanya merujuk kepada Tun Abdullah Badawi.

"Malah dalam mesyuarat MT yang terakhir sebelum keputusan dibuat, saya tetap mempertahankan pendirian saya berhubung perkara itu, saya bukan kaki bodek," katanya.

Beliau sebaliknya berkata, Muhkriz tidak dilihat memperjuangkan nasib rakyat sepertimana yang dikatanya selepas digugurkan sebagai menteri besar.

Annuar berkata, anak Dr Mahathir itu juga tidak pernah membangkitkan sebarang teguran di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Apa yang saya hendak katakan ialah kita sentiasa mengkritik pemimpin dalam sesuatu perkara. Dalam kes Mukhriz, saya cakap terus terang beliau mendakwa dipecat kerana mengkritik? Tiga tahun Mukhriz duduk dalan MT, sekali pun saya tidak dengar beliau kemuka suara rakyat.

"Maaf bercakap, apabila kena pecat kerana berjuang untuk rakyat. Apa benda yang Mukhriz berjuang untuk rakyat.

"Jika luar MT saya tidak tahu tetapi dalam mesyuarat MT tidak sekali pun Mukhriz bercakap permasalahan rakyat dan menegur Najib berhubung sesuatu isu," katanya.

Katanya, Mukhriz hilang jawatan kerana hilang kepercayaan kawan-kawan kerana cuba berada di luar pasukan.

"Itu sahaja. Saya memahami kedudukan beliau kerana ayahnya punyai masalah peribadi dengan perdana menteri, tetapi Mukhriz harus ada pendirian," katanya. – TMI

Post a Comment

blogger
facebook

Emoticon
:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget