Tindakan tegas jika miliki senapang tanpa lesen, buatan sendiri: Sabtu


KUCHING: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang memiliki senapang patah tanpa lesen dan buatan sendiri.

Demikian menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berikutan peningkatan kes insiden tembakan tanpa sengaja tahun lepas yang membawa kepada 13 kematian dan 12 lagi mengalami kecederaan parah.

Menurut beliau, sebanyak 24 kes insiden tembakan tanpa sengaja ketika berburu dilaporkan pada tahun lepas yang menunjukkan peningkatan sebanyak 14 kes atau 140 peratus berbanding tahun 2014.

“Daripada 24 kes yang dilaporkan, 13 orang meninggal dunia dan 12 mengalami kecederaan parah, namun kita percaya banyak lagi kes tembakan tanpa sengaja yang tidak dilaporkan kepada polis.

“Justeru, memandangkan statistik menunjukkan keseriusan isu ini, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati memiliki senapang patah tanpa lesen dan buatan sendiri,” tegas Sabtu.

Beliau mengulas mengenai kematian seorang lelaki berusia 37 tahun yang ditembak mati tanpa sengaja ketika berburu bersama dua rakannya di sebuah ladang kelapa sawit di Belaga baru-baru ini.

Difahamkan, seramai 23 orang telah ditangkap serta 24 laras senapang patah yang kebanyakannya dimiliki tanpa lesen dan buatan sendiri telah dirampas sepanjang tahun lepas.

“Empat individu sudah didakwa di mahkamah kerana menyebabkan kematian ketika berburu pada tahun lepas,” kata Sabtu.

Difahamkan, seseorang individu yang tanpa sengaja menyebabkan kematian seorang individu lain boleh didakwa di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun.

Manakala, individu yang tanpa sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata api boleh didakwa di bawah Seskyen 37 Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda sebanyak RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Memiliki senapang patah dan atau peluru tanpa lesen boleh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” kata Sabtu.

Sabtu turut memberitahu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak mencatatkan kejayaan pada Oktober tahun lepas apabila tiga individu ditangkap di sebuah ladang kelapa sawit di Bintulu kerana membuat senapang patah.

“Dalam operasi tersebut, lima laras senapang patah buatan sendiri serta pelbagai peralatan dan komponen yang digunakan untuk membuat senapang patah turut dirampas.
“Justeru, ingin kita menasihatkan mereka yang memiliki senjata api secara haram ini untuk menyerahkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran,” kata Sabtu lagi. -Utusan Borneo.
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget