Tarikh siap laluan berbumbung sering tertangguh

DBKU tetapkan tarikh akhir penyiapan laluan berbumbung Lebuh India sebelum Tahun Baharu Cina, 8 Feb

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah menetapkan tarikh akhir penyiapan laluan berbumbung Lebuh India, di sini sebelum sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada 8 Februari depan.

Tarikh penyiapan projek pemasangan laluan berbumbung yang dimulakan pada 2 Februari tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM4.2 juta itu telah beberapa kali dikaji semula termasuk yang pertama, kedua dan ketiga masing-masing pada 2 Oktober 2015, 5 Disember 2015 dan 13 Januari 2016.

Malah menurut Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, kelonggaran juga telah diberi kepada kontraktor utama projek kerana tidak menepati ketiga-tiga tarikh akhir penyiapan yang diberi ekoran pelbagai masalah yang timbul sepanjang penyiapan pembinaan projek tersebut.

“Kami telah bermesyuarat dengan pihak kontraktor utama dan subkontraktor baru-baru ini dan tarikh akhir penyiapan yang diberikan adalah 13 Januari (Rabu) depan.

“Bermakna sebarang kelewatan yang berlaku selepas tarikh itu (13 Januari), maka DBKU akan mengenakan penalti ‘Liquidate Ascertained Damages’ (LAD) kepada kontraktor dengan caj sebanyak RM1,000 sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Rumah Kelab DBKU di sini, semalam.

Tambahnya, DBKU juga telah mengambil tindakan untuk memberi tekanan dan gesaan kepada kontraktor untuk menyiapkan projek itu dengan segera kerana kelewatan itu memberi implikasi yang tidak menyenangkan khususnya kepada peniaga yang berniaga di situ sejak setahun lalu.

Beliau juga menjelaskan beberapa faktor yang menjadi punca kelewatan penyiapan projek itu seperti yang dilaporkan pihak kontraktor kepada DBKU.

“Antara penyebab kelewatan pembinaan ialah kawasan pembinaan berdekatan dengan kawasan yang ramai orang, sebab itulah ia menyukarkan kontraktor kerana ia mengambil kira akan aspek keselamatan orang ramai di sekitarnya.

“Selain itu, pekerja pembinaan juga mengalami masalah apabila menjumpai saluran paip bawah tanah yang lama dan tidak digunakan lagi.

“Apabila pekerja pembinaan menjumpai saluran paip lama itu, kontraktor terpaksa memanggil wakil Lembaga Air Kuching (LAK) bagi memastikan sama ada ia masih digunakan atau tidak. Prosedur ini juga memakan masa sekali gus menyumbang ke arah kelewatan,” katanya.

Struktur logam utama pada bumbung atap itu juga, jelas Wahap perlu ditempah dari Semenanjung Malaysia kerana kerja rekaan struktur logam itu tidak dapat dilakukan di Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, projek laluan berbumbung Lebuh India itu kini pada tahap 85 peratus siap dan apabila siap kelak ia akan memberi wajah baharu pada Lebuh India selain memberi keselesaan kepada warga kota yang membeli-belah di sana dengan adanya bumbung untuk berlindung daripada panas dan hujan.

Pada masa sama katanya, penyiapan projek laluan berbumbung itu juga bakal menjadikan Lebuh India satu-satunya kawasan komersial pertama di bandar raya ini yang mempunyai saluran terus ke sistem pembetungan utama bandar. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget