400 penduduk asal Sarawak tiada kewarganegaraan

JPN, KDN diminta siasat mengapa masih ramai penduduk luar bandar guna kad pengenalan sementara

KUCHING: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta menyiasat mengapa masih ramai penduduk asal Sarawak di kawasan luar bandar masih menggunakan kad pengenalan sementara.

Pemimpin Gerakan Sarawak for Sarawakian (S4S) Peter John Jaban mendedahkan perkara tersebut kepada media ekoran penemuan para sukarelawan S4S sewaktu menjalankan kempen mengumpul tandatangan rakyat negeri ini kawasan Baram, Bintulu dan Kapit.

“Jumlahnya agak banyak, sebenarnya lebih kurang 400 orang dan mereka ini adalah rakyat asal negeri ini.

“Kami tidak terima tandatangan mereka jika mereka adalah pemegang kad pengenalan sementara.

“Tarikh tamat setiap pemegang kad pengenalan sementara ini adalah lima tahun dan masih banyak lagi di kawasan Bintulu dan Kapit.

“Mereka tinggal di kawasan pedalaman dan jauh daripada kemudahan, apa yang mereka beritahu kami…ya mereka orang asal tetapi banyak prosedur dan polisi yang perlu diikuti,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Justeru Peter menggesa pihak berwajib bertindak menyelesaikan perkara itu secepat mungkin melalui ketua kampung atau penghulu dengan tidak mengenakan polisi dan prosedur yang ketat bagi mendapatkan kad pengenalan.

Sementara itu S4S telah berjaya mencapai sasaran 10 peratus tandatangan terkumpul daripada 2.6 juta populasi negeri ini bagi kempennya yang berakhir 31 Disember 2015.

Peter berkata dalam Artikel VIII Penjanjian Malaysia 1963 terkandung autonomi dan kedudukan Sarawak semasa menyertai penubuhan negara Malaysia.

“Enakmen Ordinan Referendum itu juga melindungi hak negeri dan sebanyak 300 buku tandatangan rakyat akan kami serahkan selewat-lewatnya dalam tempoh tiga minggu lagi kepada Ketua Menteri sebelum bermulanya Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Salinannya juga akan kami serahkan kepada pihak United Nation (UN) tetapi kami perlukan masa untuk memeriksa semula nama-nama berkenaan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa S4S tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik namun meminta agar Ketua Menteri memperjuangkan hak serta kehendak rakyat untuk disuarakan di peringkat persekutuan.

Katanya pemimpin BN tidak harus memandang remeh perkara tersebut kerana walaupun Barisan Nasional (BN) akan menang pada PRN akan datang namun kemenangan itu adalah dengan majoriti undian yang tipis, tegasnya.

Beliau ketika ditanya sekiranya akan menyertai politik menjawab bahawa dirinya gembira dengan kedudukan sekarang dan mahu terus berkhidmat membantu rakyat tanpa menjadi seorang ahli Yang Berhormat (YB).

“Dari mula lagi saya memang tidak mahu dan saya gembira dengan kedudukan sekarang kerana saya telah berjanji dengan diri sendiri, saya boleh bercakap untuk rakyat untuk membantu mereka tanpa menjadi seorang YB,” ujarnya.

Turut hadir bersama beliau adalah penyokong S4S KC Tan dan Robert Liew. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget