Manfaat infrastruktur


PAKAN: Pembinaan jalan dan usaha menaik taraf fasa kedua Jalan Pakan, Ulu Julau, Ulu Kota Pakan di bahagian Sarikei yang menelan peruntukan sebanyak RM130 juta bakal memberikan manfaat kepada lebih 31,000 penduduk kawasan terbabit dan sekitarnya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, usaha ini telah lama dinanti masyarakat di kawasan berkenaan yang ternyata dahagakan pembangunan, terutama melibatkan keselesaan kemudahan infrastruktur.

“Fasa pertama jalan ini yang melibatkan pembinaan dari Pekan Pakan hingga ke Rumah Buing sejauh 13 kilometer dengan kos sebanyak RM63.7 juta telah siap pada 2011.

“Sebagai kesinambungan kepada usaha ini, kerajaan meneruskan pembinaan fasa kedua bermula dari Rumah Buing hingga ke Klinik Nanga Kara sejauh 15 kilometer, dengan kos pembinaan sebanyak RM130 juta,” ujarnya.

Jelasnya, projek ini dijadualkan siap dalam tempoh tiga tahun, dengan melibatkan kerja seperti penurapan jalan, pembinaan jambatan, mengemas kini sistem perparitan serta beberapa aspek pembinaan yang lain.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Jalan Pakan, Ulu Julau, Ulu Kota, Pakan (Fasa Kedua) di Rumah George Chunggut, Nanga Nansang di sini, semalam.

Menurut Adenan, projek ini bakal memberi manfaat kepada penduduk 12 rumah panjang serta dua buah sekolah yang berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sembawang dan SK Nanga Dayu.

Katanya, kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) akan terus berjuang dan memberikan penuh tumpuan serta fokus kepada pembangunan di kawasan luar bandar.

Jelas Adenan, dalam memastikan kesinambungan usaha ini, kerajaan begitu mengharapkan sokongan padu daripada peringkat akar umbi.

“Kini kita mahu semua pihak sedar bahawa kemerdekaan Sarawak selama lebih 50 tahun ini, mempunyai peranan yang amat penting. Maka dengan itu, kita tidak mahu diperlakukan sebagai ‘anak tiri’ dan terabai dari setiap agenda pembangunan.

“Sekira di Semanjung Malaysia mempunyai lebuh raya selesa, kita di Sarawak ini juga mahukan pembinaan Pan Borneo dipercepat dan juga bebas tol.

“Namun demikian daripada aspek politik, kita mahu Sarawak bebas kemasukan politik Semanjung yang terlalu ekstrem dan tidak sesuai untuk penduduk di Sarawak berbilang kaum kerana kita mengutamakan perpaduan sesama kaum,” tegasnya.

Pada masa sama, Adenan berkata, sejak beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak dua lepas, sebanyak 45 agenda menjadi beban rakyat berjaya diatasinya peringkat demi peringkat.

Katanya, ia membabitkan penurunan tarif elektrik, pemansuhan tol, pembanterasan aktitivi pembalakan haram hingga membawa kepada penutupan lebih 30 buah kilang kayu, memberhenti pembukaan hutan secara berluasa kerana isu perebutan tanah serta banyak lagi agenda lain kerap membelenggu penduduk di negeri ini.

“Perjuangan bersama penduduk Sarawak, terutama melibatkan tuntutan hak bersama seperti royalti minyak dan gas dinaik pihak Petronas daripada lima peratus ke 20 peratus akan diterus selagi ia tidak dilulus.

“Ia adalah hak kita, maka dengan itu, kita wajar menikmatinya,” katanya lagi.

Pada majlis itu, Adenan turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM2 juta kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, merangkap Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri Willam Mawan Ikom, sebagai kegunaan dan menampung keperluan untuk pembangunan penduduk setempat.

Hadir sama Mawan, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Sarawak Dato Sri Micheal Manyin Jawong, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Residen Bahagian Sarikei Dr Anthony Valentine Laiseh.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget