Apa justifikasi penurunan 10 sen harga petrol?


Rakyat Malaysia mampu menghela nafas lega apabila harga petrol dan disel untuk bulan Ogos turun 10 sen. Kerajaan meletakkan harga RON95 pada kadar RM2.05 seliter, RON97 pada harga RM2.45 seliter (termasuk 6% GST) dan disel pada RM1.95

Penurunan harga 10 sen ini selari dengan penurunan harga minyak mentah pada bulan Julai yang kini pada kadar US$52.82 setong. Julai bukan bulan baik bagi pengeluar minyak kerana masih dibelenggu lebihan bekalan dan kelembapan ekonomi China.

Sementara harga minyak mentah dilihat semakin menurun, kadar yang dibayar pengguna bahan bakar di Malaysia tidak jauh berbeza. Mungkin ia tidak memberi gambaran sebenar tentang harga pasaran minyak mentah dunia.

Pada 1 Julai, ketika kerajaan mengumumkan harga minyak naik 10 sen ke RM2.15, penanda aras dunia Brent Crude Oil pada kadar USD63.59. Adakah penurunan sebanyak USD10 hanya menjadikan harga minyak turun 10 sen?

Kerajaan mematuhi Mekanisme Harga Otomatis (APM) yang dilaksana pada 1983. APM bergantung kepada Means of Platts Singapore (MOPS) – indeks harga harian RON95, RON97 serta diesel.

APM turut mengambilkira komponen alfa, kos operasi, paras keuntungan syarikat minyak, paras keuntungan peniaga dan akhirnya cukai kerajaan.

Laman Tumblr yang dikenali sebagai Harga APM Malaysia pada mulanya memaparkan harga harian APM RON95, RON97 serta disel berbanding harga yang ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun, kali terakhir ia dikemaskini ialah 31 Mac. Admin berkata mereka tak dapat mengemaskini harga APM buat Malaysia setiap hari.

Menggunakan kiraan yang dibuat, kita juga boleh membuat kiraan dan nampak gayanya Harga APM Malaysia bagi RON95 seharusnya RM1.58 seliter berbanding Brent Crude Oil USD52.82, dengan tukaran matawang USD ke Ringgit pada kadar RM3.818.

Harga yang tinggi di Malaysia turut dijelaskan naib presiden PKR Rafizi Ramli di dalam kenyataannya bahawa nilai ringgit yang merosot menyebabkan rakyat tidak dapat menikmati harga petrol lebih rendah.

Rafizi berpandangan harga petrol di negara kita tidak mencerminkan kadar harga minyak dunia sambil menggesa kerajaan lebih telus dengan menerbitkan jadual yang digunakan bagi menetapkan harga.

Penganalisa kini menjangka harga minyak akan turun lagi dan secara logik, ini bermakna kita wajar membayar harga yang lebih rendah di stesen minyak. Tunggu.-The Ant Daily

Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget