Saya tidak menuturkan kata-kata hasutan: Peter


KUCHING: Ketua penganjur perhimpunan memperingati tarikh kemerdekaan Sarawak, Peter John Jaban menegaskan beliau tidak pernah memberi ucapan berbaur hasutan agar negeri ini keluar daripada Malaysia.
Menurutnya, perhimpunan di padang Song Kheng Hai di sini pada 22 Julai lepas adalah untuk mempamerkan mesej kepada persekutuan bahawa Sarawak wajar diberi layanan seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Persekutuan Malaysia 1963.
“Mungkin ada kata-kata menghasut, tetapi setakat ini saya tidak menuturkan kata-kata hasutan dan tidak pernah mengajak (masa berucap pada perhimpunan) agar keluar dari Malaysia.
“Saya tak tahu apa (yang dimaksudkan mereka) sebagai hasutan,” katanya yang begitu bangga dengan semangat warga Sarawak menghadiri perhimpunan tanpa mengira latar belakang pada sidang media semalam.
Peter berkata, beliau diambil keterangan oleh polis selama enam jam kelmarin bersama 11 yang lain – mereka yang bertanggungjawab menjadi penganjur perhimpunan yang didakwanya disertai lebih 10,000 orang datang dari seluruh pelosok negeri.
Katanya, beliau kini menunggu hasil siasatan polis.
Pada 21 Julai, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan agar perhimpunan itu dihentikan atas faktor keselamatan.
Polis, katanya, menerima maklumat terdapat pihak yang merancang untuk menggunakan perhimpunan itu sebagai landasan menghasut dan membangkitkan sentimen rakyat Sarawak agar keluar daripada Malaysia.
“Tindakan menghasut ini jelas bercanggah dengan perlembagaan Malaysia. Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penganjur dan anggota jawatankuasanya demi menjaga kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara,” katanya dipetik menerusi Bernama.
Peter berkata lagi, warga Sarawak pada hari perhimpunan telah menunjukkan semangat yang tinggi.
“Ada yang datang berkerusi roda. Saya amat terharu dan menitiskan air mata melihat kesanggupan dan semangat dia. Saya menjadi emosional,” ujarnya.
Mengenai slogan ‘Sarawak for Sarawakians,’ beliau berkata ia akan ditukarkan kepada ‘We Are Sarawakians.’
“Sarawak for Sarawakians adalah slogan yang digunakan pada 1963 dan sekarang kita berjuang tanpa mengira latar belakang individu. Kita berjuang demi Sarawak,” katanya.
Mengulas pendapat Presiden Ikatan Graduan Melayu (SMGA) Datu Dr Sanib Said yang mengatakan 22 Julai 1963 bukan tarikh sebenar kemerdekaan Sarawak, beliau berkata perkiraan sejarawan itu adalah salah.
Menurutnya, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak bersama-sama ahli-ahli kabinet negeri pada tarikh itu.
“Itu maknanya kita dah berkerajaan sendiri dan bermaksud kita sudah merdeka. Penjajah British masih di sini kerana ingin membimbing sebelum kembali ke negara mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penganjur perarakan dan perhimpunan bagi memperingati hari kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai lepas mungkin berdepan tindakan polis.
Ini kerana perarakan dan perhimpunan itu mendapat larangan daripada pihak polis, katanya.
Wan Junaidi berkata, meskipun perhimpunan tersebut dibenarkan di bawah Akta Perhimpunan Aman namun pihak penganjur perlu mendapatkan kelulusan polis dalam menentukan tempat perhimpunan.
“Saya tidak menyebut bahawa perarakan dan perhimpunan oleh Sarawak for Sarawakians itu haram sebab saya tidak maklumkan sama ada mereka mendapat kebenaran laluan, jalan dan tempat berhimpun daripada pihak polis.
“Tetapi mengikut perundangan yang ada sekarang ialah setiap individu atau kumpulan yang hendak mengadakan perarakan atau perhimpunan mestilah mendapat kelulusan polis bagi menentukan tempat bagi tujuan itu.
“Jika polis melarang untuk berhimpun atau berarak di satu-satu tempat itu bermakna ia sudah menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2015 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Samariang di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi mengesahkan bahawa Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya, Tony Pua merupakan salah seorang daripada tiga individu yang disekat daripada ke luar negara.
Manakala Ahli Parlimen (PKR) Pandan, Rafizi Ramli yang dikhabarkan turut disekat ke luar negara adalah tidak benar.
“Sebenarnya hanya ada tiga individu yang disekat ke luar negara dan salah seorang daripadanya adalah Tony Pua manakala lain-lain individu yang dimaksudkan seperti Rafizi hanyalah khabar angin,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget