Ringgit tunjuk pengukuhan


KUALA LUMPUR 9 Julai – Keadaan ringgit yang mengukuh kepada RM3.7945 hari ini berbanding dolar berkemungkinan disebabkan oleh minit mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang memberi ‘isyarat’ kenaikan kadar faedah akan ditangguhkan. 


Mohd. Afzanizam
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, minit mesyuarat itu menggambarkan kebimbangan ahli jawatankuasa dasar kewangan terhadap permintaan pengguna yang masih lemah di samping isu Greece yang belum selesai dan juga kelembapan ekonomi China.

Berdasarkan kepada perkara itu katanya, terdapat kemungkinan keputusan untuk menaikkan kadar faedah AS yang dijangka pada September tahun ini akan ditangguhkan.

“Namun, rata-rata penganalisis masih mengunjurkan kenaikan kadar faedah AS akan berlaku tahun ini.

“Walau bagaimanapun, faktor dalaman seperti situasi hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada sentimen para pelabur luar negara yang akan diterjemahkan melalui penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada Selasa lalu, IMF melaporkan ‘pertumbuhan boleh menjadi lemah’ disebabkan oleh kenaikan dalam dolar dan menggesa Rizab Persekutuan supaya mengekalkan kadar semasa pada 0.25 peratus sehingga separuh pertama 2016 dengan peningkatan kadar dana persekutuan secara beransur-ansur.

Ini berikutan daripada pertumbuhan global yang lemah termasuk China akan menjejaskan eksport AS dan pelaburannya dalam sektor-sektor berkaitan.

Sebelum itu, Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen berkata, sebarang kenaikan kadar faedah akan dibuat secara berperingkat-peringkat tetapi memberi isyarat bahawa kenaikan pertama akan dilaksanakan tahun ini.

Awal minggu ini, ringgit mencatat kejatuhan terendah dalam tempoh 16 tahun kepada RM3.8050 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan tindakan pengundi di Greece yang menolak rancangan penyelamatan yang lebih ketat daripada pemberi hutang.

Keadaan di Greece juga telah mendorong kepada kejatuhan pasaran saham dan nilai mata wang Asia yang turut menyaksikan dolar Australia jatuh kepada paras paling rendah dalam tempoh enam tahun pada AS$74.78 sen (RM2.84).
Sementara itu, MIDF Research dalam laporan prospek suku ketiga 2015 memberitahu, trend dan sentimen tukaran asing semasa menunjukkan ringgit begitu sensitif kepada pergerakan dolar dan perubahan terhadap risiko.

Jelasnya, ia tidak akan terlepas daripada reaksi pasaran sekiranya Rizab Persekutuan mengambil langkah lebih ketat berbanding apa yang diharapkan oleh pasaran.

“Oleh itu, ketika terdapat risiko dalam kestabilan domestik, ringgit yang masih kekal terdedah dan lemah akan mendorong berlakunya risiko kestabilan luaran.

“Bagaimanapun, terdapat sedikit bukti yang menunjukkan bahawa kelemahan ringgit boleh meningkatkan eksport terutama pada masa harga komoditi tertekan di tengah-tengah permintaan yang lemah berbanding bekalan,” katanya.
Laporan itu juga mengekalkan jangkaannya bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) sepanjang tahun ini. - Utusan.

Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget