Turut dirampas dalam operasi Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman itu ialah buku-buku mengenai jihad dan fahaman Salafi Jihadi serta resit-resit pembelian barang-barang taktikal pertempuran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kedua-dua suspek itu merancang untuk melancarkan serangan selepas berkomunikasi dengan anggota kanan kumpulan IS di Syria.

“Suspek pertama berusia 28 tahun ditahan pada 2 Julai lalu dikesan mempunyai hubungan dengan beberapa warga Eropah yang merupakan anggota kanan IS di Syria.

“Sejak pertengahan tahun lalu, dua anggota kanan terbabit telah memberi arahan kepada pemuda ini untuk melancarkan serangan ke atas kawasan berkepentingan Barat di ibu negara serta pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

“Suspek kedua yang ditangkap kelmarin pula pernah menganggotai kumpulan pengganas di Syria di antara tahun awal 2014 hingga Ogos lalu. Dia pulang ke Malaysia selepas cedera dalam satu pertempuran di negara terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Khalid berkata, kedua-dua suspek telah mengadakan pertemuan di sekitar ibu negara dan Selangor sejak penghujung tahun lalu bagi membincangkan perancangan untuk melakukan serangan di negara ini.

“Suspek pertama juga mempunyai hubungan rapat dengan Ahmad Affendi Manaf, 27, rakyat Malaysia yang terbunuh selepas melancarkan serangan bunuh diri di Homs, Syria pada 9 November lalu,” ujarnya.

Kata Khalid, kedua-dua suspek yang ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah kesalahan berkaitan dengan keganasan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut Prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Beliau berkata, tangkapan terbaharu yang melibatkan suspek warga tempatan yang merancang untuk melancarkan serangan selepas berkomunikasi dengan anggota kanan IS di Syria merupakan trend terbaru yang amat membimbangkan.
“Ini selari dengan modus operandi serangan terbaru oleh individu-individu yang sama ada bersimpati, terpengaruh dengan ideologi pengganas atau menerima arahan bagi anggota kanan IS di Syria bagi melancarkan serangan di negara masing-masing seperti serangan di Tunisia, Perancis dan Kuwait pada penghujung bulan lalu,” katanya.  - Utusan.