PKR umum 22 calon bertanding di zon selatan


KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam mengumumkan bahawa 22 calon daripada parti itu akan bertanding di zon selatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian pada satu sidang media yang turut dihadiri Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa merasmikan Bilik Gerakan Utama (BGU), PKR di sini.

Barisan calon tersebut ialah Francis Teron (Opar), Boniface Willie Tumek (Tasik Biru), Jajol Numan (Tanjung Datu), Nurhanim Hanna Mokhsen (Tupong), Mohd Salleh (Satok), See Chee How (Batu Lintang), Voon Shiak Ni (Batu Kitang), Athina Sim (Serumbu), Willie Mongin (Mambong), Musa Ngog (Tarat) dan Cyril Langin (Kedup).

Calon-calon lain ialah Reginald Abell (Triboh), Jamilah Baharuddin (Simunjan), Abang Zulkifli Abang Engkeh (Lingga), Nicholas Mujah (Balai Ringin), Norina Utot (Simanggang), Kolien Liong (Batang Ai), Yukud Daud (Saribas), Vernon Kedit (Layar), Neol Bucking (Bukit Saban), Jemat Panjang (Kalaka) dan Ali Biju (Krian).

Baru pada sidang media sama, turut mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi Ba’Kelalan pada PRN nanti.

Menurut beliau barisan calon itu telah bekerja keras di peringkat akar umbi sejak dua hingga tiga tahun lalu selain berjaya mencapai standard Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang ditetapkan parti.

“PKR satu-satunya parti melaksanakan sistem KPI (untuk bakal calon). Kami mendapati cara ini sangat berkesan dan telah menetapkan piawaian yang sangat tinggi.

“Disebabkan keberkesanan itu, parti di peringkat pusat mengadaptasi KPI ini dan melaksanakannya di seluruh negara,” ujarnya.

Baru menjelaskan, pelaksanaan sistem KPI untuk calon-calon berpotensi juga menunjukkan parti serius mencari calon paling sesuai dan berpotensi menang untuk PRN akan datang.

Pada masa sama katanya PKR negeri khasnya, mahu memberi jaminan kepada umum bahawa rundingan pembahagian kerusi antara PKR dan parti Pakatan Harapan yang lain (DAP dan Amanah) berjalan dengan lancar.

“Kami telah mencapai persetujuan dan menyelesaikan masalah berhubung pembahagian kerusi di seluruh Sarawak iaitu lebih 80 peratus.

“Baki 20 peratus lagi, kami yakin ia dapat diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

“Kami mahu memaklumkan kepada rakyat Sarawak bahawa kami (Pakatan Harapan) bersatu.

“Kami sudah mengumumkan yang kami akan bersatu menentang Barisan Nasional (BN), satu lawan satu. Tiada guna untuk kami bergaduh merebut kerusi,” katanya sambil menambah, PRN ini juga merupakan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Ditanya sama ada 20 peratus lagi baki kerusi merupakan tuntutan bertindih antara Pakatan Harapan, Baru berkata semua parti bersetuju tidak mendedahkan perkara itu buat masa ini.

Tambahnya, semua pemimpin parti Pakatan Harapan telah bersetuju bertemu pada pertengahan bulan ini (Februari) untuk membincangkan secara lanjut mengenai isu pertindihan kerusi tanpa melibatkan campur tangan pemimpin parti di peringkat pusat.

Sementara itu, Wan Azizah ketika berucap mengingatkan ahli parti agar tidak terpengaruh dengan taktik BN Sarawak diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang secara terbuka mendedahkan tarikh penamaan calon dan mengundi untuk PRN akan datang.

“Jangan kita percaya sangat tarikh-tarikh (penamaan calon dan membuang undi) diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kerana kemungkinan ini satu helah, kita seronok-seronok sambut Tahun Baharu Cina, selepas Tahun Baharu Cina terus bubar DUN.

“Ini menyebabkan kita jangan sambil lewa, berseronok sehingga lupa persiapan. Ini akan menjadi satu penipuan,” ujarnya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget