PRN Sarawak : Parti kaum Cina setuju dinaungi BN tapi enggan lepas kerusi


Tiga daripada empat parti kaum Cina di Sarawak telah memberi isyarat kesediaan mereka untuk berada di bawah naungan payung politik Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri akan datang sepertimana cadangan Setiausaha Agung BN Sarawak dalam usaha mendapatkan semula pengaruh di kawasan bandar.

Dua daripada empat parti terbabit bagaimanapun bertegas mengekalkan bilangan kerusi untuk bertanding di bawah tiket BN

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Senator Datuk Dr Sim Kui Hian menyambut baik usul Datuk Dr Stephen Rundi itu namun menegaskan bahawa membahagikan peruntukan kerusi antara parti-parti kaum Cina, termasuk parti serpihan, Parti Rakyat Bersatu (UPP), bukanlah perpaduan.

“Ia adalah apa yang kita panggil pecah dan perintah,” Dr Sim kepada akhbar Malay Mail Online.

SUPP sebelum ini bertanding di 19 kerusi Dewan Undangan Negeri yang terletak di pusat-pusat bandar yang dihuni terutamanya oleh kaum Cina.

SUPP bertegas untuk mengekalkan peruntukan kerusi parti itu dan sudah meluluskan resolusi untuk tidak berunding dengan UPP pada mesyuarat agung terakhir parti itu sekalipun diseru Pengerusi BN Sarawak dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem agar kedua-dua parti kaum Cina itu berunding dan berkongsi kerusi.

Menurut Dr Sim, perpaduan di kalangan masyarakat Cina Sarawak yang dipecahkan faktor politik boleh berlaku di atas pelbagai pertimbangan, yang tidak memerlukan mereka mengorbankan pembahagian kerusi mereka.

“Masyarakat Cina mahu melihat (bukti) bahawa kepimpinan kerajaan Barisan Nasional dan SUPP boleh dipercayai dan ikhlas sebelum mereka boleh meletakkan kepercayaan undi mereka kepada kami.

“Mereka mahu tahu sama ada kita akan berjuang untuk mereka dan sama ada tindakan kita adalah berdasarkan kepada prinsip bukan pada kepentingan peribadi,” katanya.

Naib Presiden UPP, Johnical Rayong berkata, beliau bersetuju agar parti-parti politik Cina yang berpecah belah supaya bersatu, namun hanya jika berada di bawah gabungan BN dan bukan bergabung menjadi satu parti upp logoseperti yang dicadangkan.

“Saya bersetuju dengan Datuk Dr Stephen Rundi bahawa untuk BN memenangi kerusi di kawasan bandar, masyarakat Cina perlu bersatu dan memberi sokongan kepada BN untuk merampas kembali kerusi bandar dari pembangkang.

“Tetapi apa yang penting adalah untuk UPP dan SUPP bekerja bersama di bawah Barisan Nasional. ‘1 jantung, 1 semangat BN’,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, merujuk salah satu slogan gabungan gabungan parti pemerintah Sarawak.

Langkah sedemikian katanya, akan membantu memastikan Adenan mempunyai mandat yang kukuh untuk mentadbir Sarawak bagi tempoh lima tahun akan datang.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa adalah sukar untuk menyatukan parti-parti politik kaum Cina yang berpecah-belah di bawah satu bumbung dan tidak dapat melihat ia berlaku dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, perebutan kepimpinan akan berterusan sambil menambah bahawa UPP terbentuk daripada pertikaian dalam SUPP.

“Sebab itu kita, yang diketuai oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Wong Soon Koh, meninggalkan SUPP untuk membentuk UPP pada tahun 2014,” kata Rayong.

Menurutnya, perpecahan itu adalah penyebab SUPP kehilangan 13 daripada 19 kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri 2011.

UPP katanya, telah bertemu dan bercakap dengan Adenan 17 Disember lalu mengenai pembahagian kerusi untuk pilihan raya akan datang dan akan mematuhi keputusan Ketua Menteri.

Dalam pada itu, pemimpin dari Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), parti pecahan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang ditubuhkan tahun lalu, masih mengekalkan jawatan menteri dalam kerajaan negeri.

Sekalipun bukan komponen BN, parti itu dilayan seperti ahli parti gabungan, namun lima kerusi yang dimenangi sewaktu masih sebahagian daripada SPDP kini menjadi taruhan.

Timbalan Ketua Setiausaha Teras, Banyi Beriak mendakwa parti itu telah cuba berunding dengan SPDP namun ditolak dan diabaikan berkali-kali.

“Dengan tiadanya rundingan antara kami dan SPDP, lebih baik kami meninggalkan perkara itu kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan, dan apa jua keputusan yang dibuatnya, kami akan mengikutinya,” katanya.

Teras katanya, berharap semua lima penyandang kerusinya akan dapat mempertahankan kerusi mereka dalam pilihan raya nanti.

Naib Presiden Kanan SPDP, Datuk Paul Igai berkata, tidak ada keperluan untuk SPDP berunding dengan Teras kerana parti itu bukan parti komponen BN.

Menurutnya, Adenan juga tidak pernah mengarahkan SPDP, yang sebelum ini diperuntukkan lapan kerusi untuk berkongsi dengan Teras.

“Kami percaya Adenan tahu bahawa Teras bukan parti BN sekaligus menjelaskan mengapa beliau tidak pernah meminta kami untuk bercakap dengan Teras,” katanya.



Dalam pilihan raya negeri 2011, SPDP menang di Tasik Biru, Pakan, Meluan, Marudi, Batu Danau dan Bekenu tetapi kalah di Krian dan Ba’kelalan kepada PKR.

Menurut Igai, SPDP akan diberi tambahan peruntukkan dua daripada 11 kerusi negeri yang baru pada pilihan raya akan datang, jumlah sama dengan kerusi yang diperuntukkan kepada Parti Rakyat Sarawak dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak manakala Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mendapat lima.

“Ketua Menteri telah memberikan petunjuk kepada kami tahun lalu,” katanya.-bnbbbc






Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget