Datuk Seri Najib Razak mengaku semalam beliau menerima derma RM2.6 bilion daripada individu dari Timur Tengah. |
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini meminta perdana menteri mendedahkan nama individu "baik hati" yang memasukkan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak menjelang perhimpunan agung Umno esok.
Lim juga bertanya bagaimana Najib berjaya menarik individu pemurah menderma tanpa mengenakan sebarang syarat.
"Siapa yang sukakan beliau sehingga tahap itu?" soal beliau, sambil menambah Najib juga tidak cukup terkenal di peringkat antarabangsa berbanding bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Malah sehingga hari ini, orang ramai masih lebih mengenali Dr Mahathir. Namun, besar kemungkinan mereka akan tahu tentang PM yang mendapat sumbangan besar, tetapi mungkin bukan namanya," kata Lim sinis.
Dalam temu bual di TV3 malam tadi dengan bos media arus perdana, Najib mengakui menerima RM 2.6 bilion, yang katanya adalah sumbangan.
Beliau berkata, wang itu dipindahkan ke dalam akaun peribadinya "semata-mata kerana ia adalah hasrat penderma dan juga kerana derma itu dibuat atas kapasiti peribadi".
Dilaporkan semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menemu bual penderma dari Timur Tengah itu.
Bagaimanapun, identitinya masih menjadi misteri.
Lim berkata perkara itu tidak beretika dan identiti penderma harus didedahkan, sambil menambah para pelabur juga bertanya siapakah individu itu.
"Malah presiden Amerika Syarikat juga tidak begitu bernasib baik. Mengapa Najib bernasib baik manakala rakyat Malaysia tidak?"
Lim juga "mengucapkan tahniah" kepada Umno dan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) lain kerana semakin berjaya mendapatkan PAS sebagai sekutu baharu mereka.
Beliau menyatakan perkara itu selepas Najib memaklumkan pada temu bual itu PAS menunjukkan "tanda-tanda yang menggalakkan bagi kemungkinan bekerjasama dengan Umno", berdasarkan tindakannya yang menyokong parti Melayu itu.
Najib, yang juga presiden Umno berkata salah satu daripada tanda-tanda positif adalah apabila PAS tidak menolak Rang Undang-undang Perbekalan 2016 apabila ia diundi di Dewan Rakyat pada bulan lepas. Parti pembangkang lain menolak Bajet 2016.
- The Malaysian Insider
Post a Comment