KUCHING: Sekatan serta larangan terhadap Nurul Izzah Anwar dari memasuki negeri Sarawak adalah mengikut seksyen 8 (3) akta imigresen 1959/63, bukanlah disebabkan kesalahan politik seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak, Dato Zulfikar Ahmad mendedahkan perkara tersebut dalam satu sidang media di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.
Beliau menafikan tuduhan pelbagai pihak yang menganggap sekatan terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai itu adalah bermotifkan politik, sebaliknya pihak Imigresen hanyalah menjalankan tugas.
Mengulas lanjut, Zulfikar berkata pihak Imigresen Sarawak tidak mengetahui secara tepat jumlah atau senarai pihak yang tertakluk kepada “Notis Tolak Kemasukan” (Not To Land Notice/NTL).
“Tiada senarai penuh setakat ini kerana setiap tangkapan oleh Imigresen di Sarawak terus di hantar ke Putrajaya untuk disusun, dan tiada kertas kerja atau dokumen di susun oleh pihak Imigresen di Sarawak.
“Senarai Not To Land Notice (NTL) juga tidak di simpan oleh pihak Imigresen di Sarawak, ia cuma di rujuk terus ke Putrajaya,” katanya
Zulfikar yang dilihat cuba menafikan NTL tersebut adalah arahan dari Pejabat Ketua Menteri Sarawak, meskipun umum menyedari Sarawak memiliki kuasa autonomi dalam ehwal Imigresen.
“Setiap senarai NTL aktivis hanya disimpan oleh ibu pejabat Imigresen di Putrajaya dan pihak Imigresen Sarawak cuma melaksanakan tugas,” tambahnya.
Ahad lepas, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR telah ditahan para pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Pihak Imigresen Sarawak memaklumkan bahawa beliau tidak dibenarkan memasuki negeri ini sebaik sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 4 petang, dan diminta meninggalkan Sarawak melalui penerbangan seterusnya. – Sarawak Live
Post a Comment