Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah orangnya yang merosakkan imej Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, memetik keputusan perniagaan yang dibuat syarikat pelabur milik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di mana Najib merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.
"Saya tidak menjadi pengurus atau penasihat eksekutif. Sebaliknya Najib menubuhkan 1MDB yang dibiayai sebanyak RM1 juta saja oleh kerajaan. Najib juga menjadi penasihat kepada 1MDB," kata bekas perdana menteri itu dalam blognya chedet.cc.
Dr Mahathir, yang mahu Najib meletak jawatan berkata, 1MDB menanggung hutang RM42 bilion, iaitu "42,000 kali ganda lebih besar daripada modal".
Katanya, wang dipinjam daripada Goldman Sachs dengan faedah amat tinggi dan komisyen sebanyak 10%, dan ia digunakan untuk membeli stesen jana kuasa usang dan hampir tamat lesennya dengan harga lebih tinggi berbanding pasaran.
"Hutang sebanyak RM8 bilion diambil alih, menjadi jumlah hutang RM50 bilion. Stesen digabung menjadi Edra. Tetapi pulangan begitu rendah sehingga tidak dapat bayar faedah dan terpaksa dijual," katanya.
Aset tenaga 1MDB, Edra Global Energy Bhd, serta anak syarikatnya, kini dijual kepada firma China, General Nuclear Power Corporation, pada RM9.83 bilion.
Firma China itu juga mengambil alih hutang Edra dalam aset operasi berjumlah RM7.43 bilion. 1MDB sebelum ini berkata, melalui penerimaan tunai dan pemindahan hutang, ia akan mengurangkan hutangnya sebanyak kira-kira RM17 bilion.
Dr Mahathir berkata, 1MDB membeli tanah kerajaan dengan harga murah sehingga RM60 sekaki persegi (skp) sedangkan plot tanah yang berdekatan dijual pada harga RM7,000 skp.
"Harga belian tanah lapangan terbang tidak disebut. Tanah yang diduduki setinggan di Pulau Pinang dibeli dengan harga yang amat tinggi. Sukar untuk dibangunkan.
"Percubaan dibuat untuk jual tanah Jalan Tun Razak yang dibeli dengan harga RM60 skp daripada kerajaan, kepada Tabung Haji dengan harga RM3,000 skp (50 kali ganda harga beli).
"Wajarkah kerajaan rugi sebanyak RM2,940 skp. Inikah perniagaan strategik 1MDB? Apakah saya pernah buat perkara seperti ini?"
Dr Mahathir berkata, Putrajaya mendakwa, kononnya ekonomi negara tidak teruk, tetapi hakikatnya, nilai ringgit dan harga saham jatuh dengan teruk dan kos sara hidup meningkat dengan GST, subsidi minyak diturunkan serta tol lebuh raya dan tambang pengangkutan awam dinaikkan.
"Pendapatan dinaikkan tetapi daya beli turun kerana nilai ringgit jatuh. Pengangguran bertambah, termasuk di kalangan lulusan universiti. Perniagaan dan industri menghadapi masalah yang tidak dapat diatasi," katanya.
Bekas perdana menteri yang berkhidmat 22 tahun itu kemudiannya bertanya, bagaimana penyokong Najib boleh mendakwa beliau yang merosakkan imej Malaysia.
"Apakah saya yang merosakkan imej negara?
"Akhbar dunia melaporkan berkenaan Jho Low (ahli perniagaan Low Taek Jho) dan persahabatannya dengan Najib, cara hidupnya dan pembelian rumah mewah, pembiayaan filem Wolf of Wall Street bersama anak tiri Najib jauh lebih awal daripada sebutan 1MDB oleh saya.
"Semua ini yang memburukkan imej negara. Ia menjadi lebih buruk kerana laporan tentang pelaburan 1MDB, dan kemudian wang yang terdapat dalam akaun peribadi Najib sebanyak RM2.6 bilion.
"Jika ada sesiapa yang merosakkan imej negara, ia adalah Najib sendiri. Sebelum ini imej negara amat baik," katanya.
Dr Mahathir berkata, jika apa yang dituduh terhadap Najib adalah fitnah, beliau harus membuktikan semuanya tidak benar dan mengambil tindakan saman malu terhadap akhbar yang membuat laporan.
Katanya, terdapat percubaan memburukkan namanya dengan berkata beliau yang menyebabkan wang kerajaan hilang kerana tindakan dan pelaburan merugikan.
- The Malaysian Insider
Post a Comment