Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menolak dakwaan pembangkang yang melabelkan Datuk Seri Najib Razak sebagai diktator kerana mahu melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketika membentangkan RUU di Dewan Negara bagi bacaan ke-2 Shahidan berkata, kuasa mengisytiharkan darurat masih lagi terletak kepada Yang Di Pertuan Agong.
"Kuasa diberikan MKN tidak menjadikan perdana menteri sebagai diktator kerana kuasa mengisytihar darurat masih kekal kepada Agong," katanya di Dewan Negara hari ini.
Ahli Parlimen Arau itu berkata, tuduhan Najib sebagai diktator adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali kerana kuasa yang ada pada perdana menteri melalui MKN adalah lebih terhad.
Katanya di bawah undang- undang MKN, pengisytiharan darurat akan diputuskan MKN dan bukannya berdasarkan keputusan individu.
Katanya, pengisytiharan darurat dilakukan Najib lebih berskala kecil berbanding Agong.
"Pengistiharan darurat perdana menteri adalah lebih kepada kawasan keselamatan melibatkan bencana dan bukannya darurat berskala besar.
"Ini bermaksud pengisytiharan perdana menteri adalah lebih rendah daripada darurat Agong," katanya.
- The Malaysian Insider
Post a Comment