Abdullah kritik kontraktor gagal


ADUN Semop kesal sikap sebilangan kontraktor projek di kawasannya

KUCHING: “Kerja macam itu pun tidak dapat dilakukan tapi ada hati nak hantar manusia ke bulan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol yang ternyata kecewa dengan sikap sebilangan kontraktor pelaksana projek di kawasannya.

Beliau yang dikenali kerana sering bersuara lantang mengkritik kegagalan kontraktor pelaksana projek seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik berkata, kontraktor tidak cekap wajar ditamatkan perkhidmatan.

“Projek-projek infrastruktur asas di kawasan desa bukanlah satu projek yang menggunakan teknologi angkasa lepas,” luah beliau ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, semalam.

Menurutnya, kontraktor yang hanya tahu melobi untuk memperolehi projek dan akhirnya gagal melaksanakannya adalah pengkhianat terhadap usaha kerajaan memakmurkan kawasan luar bandar.

Malah, beliau menyarankan agar mereka yang merancang pelan projek agar turun ke kawasan, dan tidak sekadar melakukannya di pejabat.

“Jangan bagi alasan yang bodoh seperti tiba-tiba bajet tidak cukup untuk skop kerja atau kelewatan sebab itu ini,” tegasnya.

DUN Semop, merangkumi Pulau Bruit, Daro merupakan kawasan penempatan pesisir laut yang masih kekurangan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih dan jalan raya.

Terdahulu, pada sesi soal jawab, Menteri Muda Bekalan Air Datuk Sylvester Entri Muran berkata penduduk di tiga kampung di utara Pulau Bruit – Kampung Penipah, Tekajong dan Bruit – dijangka akan menikmati bekalan air paip bersih pada awal 2016.

Beliau yang menjawab soalan diajukan Abdullah berkata, pada masa sekarang bekalan air ke Pulau Bruit datang dari Sarikei melalui Tanjung Manis yang kemudiannya disalurkan secara graviti ke Pulau Bruit melalui paip dasar laut di Batang Paloh.

Di bawah Projek Bekalan Air Tanjung Manis, sebuah stesen pam penggalak telah dibina bersebelahan tangki air aras tinggi Skumang dan sebuah tangki aras rendah yang akan menerima air dirawat dari loji di Hab Halal.

“Apabila ia siap pada Februari 2016, bekalan air ke Pulau Bruit akan disalurkan dari Tanjung Manis dan punca bekalan air dari Sarikei akan dihentikan.

“Walaupun tangki di Penipah telah roboh, air akan disalurkan dari pam penggalak daripada tangki air aras rendah dari Penipah ke kampung-kampung lain.

“Sementara itu, kerajaan negeri telah memohon untuk membina tangki aras tinggi bagi menggantikan yang telah roboh kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan anggaran RM6 juta,” ujarnya.

Pada sesi perbahasan itu, Abdullah turut bertanya status projek pembinaan jalan raya dari Kampung Penuai ke Tekajong yang sudah diumumkan peruntukannya RM15 juta daripada kerajaan persekutuan.

Pembinaan jalan raya itu amat mustahak memandangkan kawasan tersebut cuma mempunyai jalan simen penghubung antara kampung-kampung.

Malah, ia akan menjadi pemacu ekonomi penduduk setempat kerana dijadikan penghubung antara pusat pengeluaran hasil laut ke pasaran.

“Bila pembinaan bermula dan apa skop projek tersebut?” soalnya yang turut menyentuh mengenai cadangan pembinaan lebuh raya pesisir, berperanan merancakkan aktiviti sosioekonomi di kawasan pengeluaran makanan dari laut dan pertanian.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan membina Pusat Latihan Perikanan dan Pertanian di kawasan Tanjung Manis dan Daro yang bertujuan mengajak belia menceburi kerjaya sebagai nelayan dan petani moden.

Beliau juga mempersoalkan Pusat Industri Laut Dalam di Tanjung Manis yang disifatkannya sebagai ‘hidup segan, mati tak mahu.’

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget