Melalui ruangan pojok Awang Selamat, akhbar milik Umno itu menyindir pemimpin DAP itu dengan mengatakan selepas bukan lagi warganegara Malaysia, Chong boleh memohon menjadi warga Britain atau Australia untuk menjadi wakil rakyat di sana, seterusnya bebas berbahas menggunakan bahasa Inggeris.
"Ketika jutaan buruh asing termasuk yang baru di negara ini komited menggunakan bahasa Malaysia, wakil rakyat DAP ini bertindak songsang.
"Apa guna menjadi warganegara Malaysia jika tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan. Bukankah di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung?
"Apa makna menjadi ahli Parlimen kalau tidak menghormati peraturan Dewan yang mulia, apatah lagi melibatkan soal bahasa rasmi," kata Awang Selamat dalam edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini.
Menurut Awang Selamat, tindakan Chong tidak mengejutkan memandangkan perkara berkenaan sudah dijangka akan berlaku, iaitu provokasi dari masa ke semasa mencabar asas kenegaraan, termasuk bahasa kebangsaan.
"Sesungguhnya isu tersebut tidak boleh diambil mudah. Sebarang percubaan untuk mengugat kedudukan bahasa kebangsaan tidak boleh dibiarkan. Kegagalan untuk menyanggah dengan lantang apatah lagi sekadar berdiam akan memberi isyarat salah.
"Lalu lebih banyak pencerobohan ke atas bahasa Malaysia akan berlaku dan membolehkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan akhirnya diambil alih bahasa Inggeris. Bukankah itu yang DAP idam-idamkan satu hari nanti," soal Awang Selamat.
Minggu lalu, Chong yang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri mengemukakan soal hak ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk berucap dalam bahasa Inggeris.
Beliau yang memulakan ucapan perbahasannya dalam bahasa Malaysia, kemudian beralih ke bahasa Inggeris menyatakan hak itu terkandung dalam Perlembagaan. –The Malaysian Insider
Post a Comment